Selasa, 16 Disember 2014

Kehidupan Terkini

Tak banyak benda berlaku...



Seminggu yang lepas balik Kedah. Pun tak ada kisah menarik tentang Kedah. Semestinya aku sakit kalau balik sana. Alergi yang menyusahkan. Sekarang sakit tekak teramat sangat.  Mungkin juga virus. Sebab hampir semua yang naik kereta untuk ke Kuala Lumpur berjangkit dengan aku.



Yang paling seronok masa makan malam kat depan rumah dan makan dengan keluarga. Sedih je aku tengok semua makanan yang tak lulus diet.huhuhuhu



Ndak buat sambal ikan bilis petai, dimana aku cuma makan ikan bilis saja bersama-sama lauk lain. Teh buat sardine roll. Akulah tukang gelek roti gardenia, bancuh tepung, halau lalat yang cuba menghurung huhhuhuhu. Njang buat serawa labu dan goreng keropok ketam. Aku dapat tengok je. 



Fiqi yang sangat nakal. Rindunya kat dia. Dapat tengok anak Midah, sebiji muka Njang. hehehe




Oh! Aku cabut gigi #46. Cabut pada 11.12.14. Hilang sahaja kesan ubat kebas, berdenyut-denyut kepala dan gusi. Gusi aku terkoyak sikit masa tu. Sehari selepas tu dah tak sakit dan sekarang masih rasa gatal-gatal digusi. Tak sabar nak tunggu sembuh dan pasang implan pula. Sebenarnya tak sakit pun buat rawatan gigi. Tambah-tambah semasa cucuk ubat kebas. Sekejap saja sakit tu. 


Rancangan pendek 2 tahun (gigi):

1. Dapatkan implan #46
2. Rawatan akar #25
3. Dapatkan implan #26
4. Scaling
5. Rawatan pemutihan gigi


Diet?



Masih berdiri teguh. Alhamdulillah. Cheat? Mungkin terlebih karbohidrat kot. Tapi tak makan pun makanan larangan terbesar diet seperti nasi, KFC (huhuhuhuhuhuhuhuhu), roti.  Biasalah, dah balik kampung. 2 hari lepas berat aku 123.6kg. Penurunan inci? Entah, kat mana berkurang pun tak tau. 



Semalam makan 'kek keju' yang aku buat sendiri. Entah la boleh kategori kek ke tak..hahahaha



Boleh la nak buat makan. Aku ni kalau demam memang memanjang lapar, kecuali sakit gigi. Kek tu manis sangat, Aku pakai 2 sachet gula stevia + setengah sudu besar jem strawberi tanpa gula. Memang nikmat masa 2,3 mulut yang pertama. Dah dekat nak habis, rasa muak pula. Tak banyak pun. Setengah cawan je kek tu. Sekarang rasa macam nak makan lagi. Tapi aku ingat esok lusa je la buat lagi, nanti melampau pula badan aku ni, asyik nak minta makan manis pula nanti.

Sabtu, 6 Disember 2014

Lost

Cerita ni dah lama sangat aku ikut. Sejak tingkatan 4 lagi kalau tak silap.



Tapi ada episod yang aku tertinggal, malah ada musim yang tak tengok. Sejak sambung belajar, aku tak ada akses untuk tengok siri Lost lagi dah.



Baru-baru ni aku diberi peluang untuk memuat turun cerita ni dari musim satu sampai musim enam termasuk dengan bonus, The Missing Pieces , bloopers, ekstra dan lain-lain.







Ceritanya memang tak masuk akal, kerana nak cari pengganti untuk menjaga pulau tu saja. Tapi bila watak-watak dalam siri ini dikembangkan, aku jadi jatuh cinta dengan cerita ini. Sebenarnya, cerita ini lebih fokus kisah hidup orang-orang yang terlibat. Aku suka jalan cerita ini dan bagaimana mereka bersangkut-paut dalam kehidupan sebelum kapal terbang yang mereka naiki terhempas.







Tambahan pula senyuman James 'Sawyer' Ford yang menawan tu. Alahai, sekali dia senyum, rasa nak pengsan, rasa macam separuh nyawa hilang. Kacak sungguh! Pegang watak 'budak jahat' pun ramai orang sukakan dia (Kate, Juliet). Teringat satu kenyataan dari Kate; 'Semua orang sukakan awak sekarang ni.'  :)



Dalam cerita ini aku ketawa terutamanya hubungan 'brotherhood' antara Hurley, Charlie, dan Jin. Nama panggilan yang direka oleh Sawyer memang lawak habis.








Dalam cerita ini aku jadi tertanya-tanya apa itu 'Black Smokes/Monsters', siapa 'The Others', kenapa 'Richard/Ricardo' kacak menawan tak ditelan usia, siapa nama adik kembar Jacob yang selalu dipanggil brother/Brother saja dan macam-macam lagi.




Dalam cerita ini aku rasa sedih terutama sekali dengan kematian Charlie, Jin dan Sun, Hurley yang meratapi kematian Libby, yang mati sebelum janjitemu mereka yang pertama dan yang paling tak boleh lupa, bila Danielle cakap kat Benjamin Linus, bahawa Alex selalu menjadikan Ben  sebagai 'father figure'. Dan kenyataan yang keluar dari mulut Danielle itu, telah menyebabkan Ben tersentuh lalu menyalahkan penggunaan bawang dalam masakan Danielle. :')






Musim ke-6 agak hambar, agak perlahan perjalanan cerita, tapi yang paling aku suka masa mereka di 'alam lagi satu'. Alam yang kenali sebagai 'purgatory'. Alam ini dipercayai dalam agama Kristian di mana roh orang-orang mati dibersihkan dengan penderitaan dalam persediaan untuk pergi ke syurga atau neraka.






Ada babak Jack bersama ayahnya bercakap, bahawa mereka semua dah mati. Ada penonton salah faham tentang ini, tentang kematian penumpang Oceanic 815. Sebenarnya, yang masih hidup semasa kejadian kapal terbang terhempas, memang benar-benar hidup. Semasa episod akhir, Jack memang mati, tapi Kate, James, Miles, Frank, Richard, Claire, Hurley, Ben, Bernard dan Rose tidak mati. Mereka masih hidup dan sebahagiannya pulang dengan kapal terbang Ajira. Hurley, Ben, Bernard dan Rose bercadang untuk tinggal di pulau berkenaan. Hurley pula ialah pengganti Jack dan menjadi penjaga pulau terbaru.






Yang dimaksudkan Christian Shepherd (ayah kepada Jack), ialah semua orang akan mati suatu hari nanti. Mereka cuma ditemukan dalam alam 'purgatory' yang tiada masa tertentu pun..Maknanya bila Kate mati kita tak tahu. Cumanya, satu hari nanti bila dia mati, dia akan bertemu dengan Jack dan meneruskan kisah cinta mereka. Kan aku dah cakap, cerita ni mengarut!





Tapi pengakhirannya memang sangat manis bagi aku. Hurley dapat bertemu dengan Libby balik, Shannon dapat bertemu dengan Sayid, Charlie dengan Claire, Juliet dengan James. Tersentuh hati aku yang tak pernah bercinta ni tau.huhuhuhu







P/S- Kalau perasan, cerita ni banyak sangat nama wataknya bermula dengan huruf J! Jack, John, Jeremy, James, Juliet, Jacob, Jin, Jane (watak jururawat musim ke-6, dalam hospital semasa John dalam wad selepas pembedahan).













Isnin, 24 November 2014

Perkembangan diet

Masih lagi kuat mengamalkan diet. Alhamdulillah.


Cuma tak sabar menunggu hari buka diet. Rasa terseksa sangat..hahaha


Berat turun naik. Paling ringan 124.1kg seminggu yang lepas. Itu pun aku rasa sebab tak ada selera makan. Ya, saya sakit gigi lebih seminggu yang lepas. Sakitnya kurang sedikit daripada yang lama kerana giginya di mandibel. Tak ada pening kepala berdenyut-denyut. Cuma, suhu badan naik, sebelah kanan muka rasa panas sangat. Nak tidur pun tak boleh mengiring ke kanan kerana 'menghimpit' rahang dan gigi yang sakit tu.


Sakitnya di skala 8.3/10. Masih mengalirkan air mata. hehehe Ubat penahan sakit yang digunakan ialah Ibuprofen.



Berat sekarang sekitar 125 kg.  Entah kenapa berat tak mau turun-turun. Tapi, rasanya itu normal, sebab dah lebih dua bulan berdiet. Yang aku perasan 'muffin top' dah mengecil sikit. Aku ukur-ukur, sudah berkurangan 2 inci! Alhamdulillah, tak turun berat pun tak apa, asal ada penggurangan ukur lilit.



Yang paling mengembirakan apabila baju kurung sudah muat. YEAY!



Walaupun masih tidak banyak ruang semasa menyarungkan baju kurung, tapi ianya tidak sesendat dahulu. Kalau tak, 'muffin top' asyik tersembul ja.



Tak sabar nak hilang lagi 10kg, kerana ukuran baju kurung aku banyak semasa berat sekitar 113kg-116kg.



Aku mula menghantar resume. Aku sudah tak kisah pasal dipanggil atau tidak. Setiap resume aku hantar bersertakan berat, kerana aku mahu majikan tahu bahawasanya aku obes. Tapi buat masa sekarang masih belum dipanggil.


Muffin top.




Ahad, 23 November 2014

Macamlah dapat.

Aku isi borang kerja tadi. Untuk jawatan cikgu. Rasa nak tergelak pun ada. Macamlah akan dapat. Panggilan pun tak akan dapat. Aku pun tak pasti kenapa aku isi.


Terdesak mungkin.


Bosan dengan hidup yang tak kemana ni.


Aku ambil keputusan nak belajar ACCA. Rasa sayangkan sains tu masih ada, tapi kalau peluang pekerjaan pun tak ada, baik aku ubah haluan.


Siapa kata kita akan dapat kerja yang kita suka?


Bertuah sungguh orang yang dapat kerja yang dia suka. Aku bukan golongan tu.


 Selamat tinggal penawar kanser dan penawar HIV. Aku tak akan jadi orang yang akan menemui penawar itu.


Keputusan periksa macam cikai, tapi angan-angan besar macam boleh capai.

Sabtu, 15 November 2014

Menghitung hari..

Ada orang menghitung hari untuk dapat gaji atau berkahwin.


Aku pula menghitung hari untuk hari buka diet! (cheat day)


Hari buka diet aku ialah pada 28 November nanti..


Tak sabar nak menunggu! Dah macam-macam makanan aku terbayangkan dikepala. Aku sedar, aku tak akan dapat makan semuanya. Kalaulah ada orang yang nak kongsi makanan dengan aku. Contohnya, aku cuma nak sesudu dua nasi lemak sambal kerang dengan timun yang ranggup, ABC dan mee goreng. 


Yang ini antara senarai makanan yang aku teringin nak makan:

1)Sekeping roti peanut butter & nutella
2) Sepotong kek dengan strawberi
3) KFC terutamanya cheezy wedges dan kentang putar
4)Pringles bekas kecil
5)Asam
6)Cadbury Black Forest 
7)Cream puff dan kuih-muih malaysia.
8)ABC
9)Spagetti
10) Roti gardenia sambal ikan bilis


Macam aku cakap tadi, bukan semua dalam senarai ni dapat aku makan! Rasa sangat 'pilu' sebab tak ada orang yang nak tolong habiskan makanan aku. Ye lah, sejak diet, perut aku mengecil. Mana nak boleh melahap macam tong sampah lagi. Hari buka diet pertama pun aku buat dua hari, tu pun tak sampai separuh senarai makanan yang dimakan. Aku harap, hari buka diet nanti tak berlanjutan sehingga dua hari lagi. Aku harap aku terus beristiqamah dalam menguruskan badan demi menjaga amanah  Allah. Amin.




UPDATE: **20/11/14

Ini buah pisang belakang rumah. Pertama kali aku dapat hasil daripada tanaman sendiri.
Malangnya, pokok tumbang dan terpaksa kutip hasil. Oleh kerana teringin sangat nak
makan pisang ni, aku pun masuk Google, dan cari cara untuk melambatkan
proses penguningan. Katanya boleh tahan lebih kurang seminggu dua, aku buat semalam, ada
lebih kurang 8 hari lagi sebelum buka diet. Nanti aku update pasal ni kalau cara ini berjaya.



Tadi pergi beli barang dapur dengan abah. Bagi menjimatkan duit, aku telah beli
barang hari buka diet seminggu lebih awal. Muahahaha. Pringles kecil tak ada, aku
bercadang akan berkongsi dengan Sara dan lain-lain. Lebihan kerepek kentang dengan kek apollo
pun dah bagi kat Sara. Aku cuma ambil 3 kerepek kentang dan 3 kek apollo.
Coklat tu pun beli yang paling kecil.









Isnin, 10 November 2014

Realiti Orang Gemuk

Gemuk.


Gemuk yang aku maksudkan, bukanlah gemuk yang terlebih 5-15kg. Tapi gemuk yang melebihi 50kg daripada berat ideal. Gemuk seperti ini selalu dikategorikan sebagai obes.


Aku gemuk. Gemuk obesiti tahap-3. Pergi mana je mesti ada yang memandang. Aku dah biasa dengan pandangan seperti ini. Ada yang menyampah, dalam hati mereka mesti kata 'Ah, orang gemuk selalu pemalas.'


Tahukah anda, gemuk adalah penyakit genetik? Ada yang tak bersetuju dengan pandangan ini. Masih dalam kajian katanya.


Mula-mula, aku pun tak setuju dengan pendapat ini, Tapi salasilah keluarga aku, banyak yang gemuk. Ayah aku gemuk kalau bukan kerana diabetes, mama pun sama. Sejak dari kecil lagi aku berisi. Tak pernah berbadan kurus. Masalah kenaikan berat badan menjadi kritikal semasa aku baligh sampailah sekarang. Aku boleh makan dan makan walaupun tanpa rasa lapar. Kenyang? Sekejap saja. Sehingga sekarang, penyakit gemuk tiada penawar (cannot be curable) tapi boleh diatasi  (can be treatable). Antaranya melalui penggurangan kalori makanan, bersenam, dan pembedahan.


Hakikatnya, orang gemuk selalu didiskriminasi.


Aku tak tahu ada tak pembaca yang gemuk macam aku, tapi ini pengalaman aku menjadi seorang gemuk obesiti tahap 3. BMI aku pernah melebihi 50.



Aku tak pernah ada kekasih. Tak ada sesiapa pun yang nakkan aku. Siapa yang nakkan orang yang obes? Lelaki lebih rela amik perempuan kurus yang kurang cantik daripada orang gemuk.


'Ada je orang gemuk berkahwin.'


Aku cakap, 'Boleh bilang dengan jari.' Berapa banyak yang tak ada kekasih/berkahwin sebab obes. Berlambak-lambak. Ingat, ini bukan kisah berat badan berlebihan, ini kisah orang obes tahap 3. Tak percaya, cuba masuk laman mencari jodoh di facebook, ramai gadis-gadis, anak dara - anak dara yang membuat 'iklan' ialah orang yang obes. Ada seorang lelaki komen dekat seorang gadis yang mengiklan, 'Macam ni beras 10 kg pun tak cukup sebulan, hantaran RM500 pun aku tak mau'. Gadis itu beratnya dalam lingkungan 90kg. Bayangkan jikalau dia mempunyai berat seperti aku, entah apa lagi caci maki yang dia terima.




Pekerjaan. Sampai sekarang aku tidak mempunyai kerja. Kadang-kadang terfikir, 'buat habis duit saja pergi temuduga, tak ada pun yang nak ambil si gemuk ni.' Ada orang akan berbalah, 'ada je orang gemuk kerja kat tempat sekian-sekian'. Berapa orang gemuk yang kamu kenal? Masa dia mula kerja dulu, memang dah gemuk macam tu ke? Jawatan apa yang dia pegang?



Temuduga-temuduga yang lalu, masih boleh ingat reaksi mereka. Ada yang tersenyum mengejek, menyoal tentang kemungkinan aku malas berjalan, endah tak endah. Mula-mula , aku pun tak mau percaya statistik yang menyatakan orang obes susah dapat pekerjaan, tapi bila dah jadi kat aku, baru aku percaya. Baru-baru ini aku terima e-mel daripada majikan yang pernah aku minta kerja. Aku ingatkan panggilan temuduga, rupa-rupa suruh aku diet. Aku tak marah, cuma kecewa sebab statistik itu betul. Kecewa dengan diri sendiri. Ingat aku suka ke jadi gemuk? Dah berapa lama baju aku tak bertukar. Sampai reput, berlubang sana sini. Bukan tak ada baju saiz besar jual kat kedai, tapi kalau dah sehelai RM50 ke atas, mana mampu nak beli, seluar paling 'murah' RM 80. Tambahan pula aku tak kerja.



Ada yang cakap, jadilah juruwang (cashier), kerja kat KFC, McD. Bukan aku memilih, masalahnya nak berdiri sejam pun sakit tumit rasa macam nak pecah, urat tapak kaki rasa macam nak meletup. Aku pernah kerja jadi 'saleswoman' hampir setahun yang lepas, aku terpaksa berhenti selepas 4 hari turun padang, sakit kaki hanya Allah saja yang tahu. Aku selalu letih dan tak bermaya. Padahal aku suka sangat kerja tu. Gembira sangat apabila rakan sekerja semuanya baik-baik dan peramah.



Hanya baru-baru ini, aku mula diet bersungguh-sungguh. Bukan senang nak istiqamah. Walaubagaimanapun, aku bersyukur kepada Allah kerana memberi semangat untuk aku meneruskan diet ini. Dengan izinNya, aku berjaya istiqamah sampai hari ke-53(hari ini), yang mana sebelum ni selalunya kurang 14hari.



Aku takkan mengalah dengan ketidakadilan dunia ini. Insya Allah, akhir tahun 2015, aku akan mencapai berat yang normal. Aku akan cuba membantu orang lain pula untuk menurunkan berat badan, bukan kerana sebab cacian hinaan mahupun riak, tetapi kerana tubuh badan ini milik Allah, pinjaman daripada Allah, dan Dia pernah berfirman supaya jangan menzalimi diri sendiri.



Jadi, wahai golongan-golonganku sekalian, jangan cepat putus asa. Allah tidak bebankan kita melebihi kemampuan yang kita ada.



Sabtu, 8 November 2014

Menyerupai..

...zombie.


Pucat gila sekarang ni.


Aku rasa elok sikit je dari zombie kampung pisang. Dengan mata panda. Mesti Aina takut tengok aku, dah la baru dapat penglihatan.hahaha


Jangkaan:


  1. Aku derma darah pada 2 November, 450ml (whole blood, aferesis dah cukup kuota hari tu). Aku ingat kalau derma darah maka bulan akan datang lambat. Sekurang-kurangnya 5-7 hari macam pengalaman-pengalaman yang sudah.
  2. Kurang dari 48 jam, bulan sudah datang. Ayoyo, salah pengiraan. Datang tepat pada waktunya (Alhamdulillah, haid aku tak pernah terhenti lebih sebulan, walaupun aku morbidly obese [obes tahap 3]).


Mula-mula aku perasan juga yang aku ni pucat, biasa la, baru bagi darah. Tapi dah masuk beberapa hari, masih tak hilang-hilang juga pucat tu. Dah la aku rancang nak cabut gigi  Isnin atau Selasa minggu depan yang tinggal beberapa hari lagi ni. Dari 2-3 minggu lepas lagi aku rancang. Jadinya, aku tangguh sebab takut nanti nak bagi darah tak lepas pula. 


Ditambah pula cuaca sejuk dan aku tidur atas lantai. Ya, saya tak suka tidur atas tilam kecuali tilam yang mahal-mahal.hahaha 


Tilam kat rumah aku semuanya yang murah-murah, aku tak suka tidur atas tu sebab nanti sakit tulang belakang. Jadinya, sehingga aku mampu beli tilam mahal, baru aku tidur atas tilam. Buat masa ni, kalau sejuk sangat lapik dengan comforter je dan pakai sweater.  Kadang-kadang aku tarik comforter yang jadi pelapik tu, jadi selimut pula. Kiranya, comforter tu dua dalam satu. hahaha


P/S: Baru aku tau, bahawasanya, aku layak menderma aferesis. Tapi aku rasa mungkin akan mula menderma tahun hadapan kerana lengan aku masih besar, dan agak susah nak ambil tekanan darah.  Buat malu je bila mesin tu tak dapat ambil bacaan walaupun dah pakai cuff yang paling besar. aku jangka, dalam tiga bulan lagi berat aku kurang daripada 110kg. Tak sabarnya nak daftar jadi penderma sum-sum tulang.

Selasa, 4 November 2014

Diet Atkins: Pengenalan

Umum diketahui, aku melakukan  Diet Atkins dan ianya sangat sesuai untuk orang yang kuat makan macam aku. Diet ini dilakukan dengan mengurangkan pengambilan karbohidrat, mengambil protein secara bersederhana dan melebihkan lemak dalam menu makanan dalam sehari-harian.


Terdapat banyak  diet rendah karbohidrat yang direka; dipercayai diolah daripada diet ini seperti Diet Ketogenik, South Beach Diet, Paleo Diet dan lain-lain lagi.


Terdapat empat (4) fasa didalam diet ini.


  1. Fasa 1; Induction
  2. Fasa 2; Ongoing Weight Lost
  3. Fasa 3; Pre- Maintenance
  4. Fasa 4; Lifetime Maintenance



Bagaimana memulakan Diet Atkins?


Anda boleh makan (untuk fasa 1: induction):

  1. Sumber protein; lembu, ayam, ikan, kambing, telur, ayam belanda daging khinzir bagi bukan Islam, itik, puyuh, udang, sotong (agak tinggi kandungan karbohidrat, boleh makan cuma kurangkan) yang dimasak secara goreng, panggang, bakar, sup dan lain-lain.
  2. Sayur-sayuran yang rendah kadar karbohidrat dan rendah glycemic index seperti cendawan, lada, daun salad, timun, dan lain-lain.
  3. Keju yang rendah karbohidrat seperti mozarella, cheedar, parmesan, cream cheese dan lain-lain.
  4. Makanan-makanan lain yang rendah karbohidrat dan rendah glycemic index.


Makanan yang dilarang dimakan:

  1. Segala jenis nasi, produk hasil pemprosesan nasi seperti bihun, mee, keow teow, soun dan lain-lain.
  2. Segala jenis tepung, produk hasil pemprosesan tepung seperti tepung gandum, tepung ubi, kuih-muih, biskut, pau, cream puff, tat keju, kek dan lain-lain.
  3. Gula tebu, segala jenis makanan yang dihasilkan menggunakan gula tebu seperti milo, oren sunquick, air berkarbonat, gula-gula, dan banyak lagi.
  4. Semua jenis buah-buahan; epal, anggur, oren, pisang, nangka dan banyak lagi.
  5. Segara jenis kekacang, produk hasil pemprosesan kacang;  kacang merah, kacang buncis, kacang goreng, kacang panjang, kacang soya, kicap, taufu fa dan lain-lain lagi.
  6. Segala jenis ubi dan umbisi; ubi kayu, ubi kentang, ubi keledek, jejari kentang McD & KFC, kentang putar dan banyak lagi. (kecuali ubi konjac)


Sepanjang fasa 1 anda hanya dihadkan pengambilan karbohidrat dengan hanya 20 gram sehari. Bilangan terbesar karbohidrat yang diambil ketika fasa ini hendaklah datang daripada sumber sayur-sayuran.



Walaubagaimanapun, terdapat juga larangan tidak melakukan diet ini jikalau anda:

1) Mengandung
2) Mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit buah pinggang kronik






**Apa itu makanan yang mempunyai glycemic index yang tinggi?

-angka yang menunjukkan potensi peningkatan gula dalam darah daripada karbohidrat yang dimakan. Senang cakap, sebaik saja makan makanan tinggi GI, gula dalam makanan itu akan cepat masuk ke dalam saluran darah, seperti nasi, cornflakes, air soda dan lain-lain lagi.


Isnin, 3 November 2014

Orang baru menggantikan orang lama

Dalam keluarga aku, dah ada orang baru. Banyak tau untuk tahun ini sahaja. :)


Pertamanya, kakak ipar aku dah melahirkan seorang lagi bayi perempuan, Aina. Sebiji ikut muka ibunya dan saling tak tumpah macam muka kakaknya semasa bayi dahulu. Sebulan sebelum itu, kakak kepada kakak ipar aku ini pun telah melahirkan seorang anak lelaki.


Manakala, di Kedah, sepupu aku telah melahirkan seorang anak perempuan, cukuplah sepasang. :)



Biras aku, adik ipar kepada kak yong pun melahirkan anak perempuan yang sangat besar, 3.98kg!



Beberapa bulan yang lepas, Tok Wan sudah pun meninggal dunia. Pada usia lebih kurang 96 tahun. Sebenarnya, kami semua termasuk Tok Wan pun tak pasti berapa umur yang sebenarnya, kerana sijil lahir lambat dibuat, tapi yg tertulis di Sijil Kematian, Tok Wan meninggal pada umur 90 tahun.


Tiada lagi watak datuk dalam hidup ini. Aku selalu bayangkan Tok Wan akan hidup selama-lamanya. Macam tak percaya saja Tok Wan dah tiada. Lebih kurang seminggu sebelum diwadkan, rumah Tok Wan baru saja siap diperbaharui.


Tok Wan ada tiga orang isteri, memang ramailah anak-anak, cucu-cucu, dan cicit-cicit yang datang melawat dia di hospital. Ketika inilah, ramai sangat sanak-saudara yang aku bersua muka. Kebanyakkannya aku tak berapa kenal kerana sesetangah daripada mereka termasuk aku bertebaran mencari rezeki di negara bertuah ini.


Bila dah ramai-ramai berkumpul, mulalah makcik- makcik dan pakcik-pakcik aku cerita tentang Tok Wan masa muda-muda dulu. Sudah semestinya mereka merindui dan berharap bapak/abah/ayah (panggilan setiap orang anak-anak Tok Wan daripada isteri-isteri yang lain adalah berbeza), cepat-cepat bangun dan sembuh seperti sediakala. Cerita macam mana Tok Wan mempelihara setiap anak-anak perempuannya, apa yang telah Tok Wan layan mereka semasa kecil-kecil dahulu dan lain-lain.


Masa abah sakit dulu pun, Mak Teh dan Mak Njang cerita pasal abah. Memang sudah begitu adat manusia, bila seseorang sakit dan sudah meninggal dunia, segala kenangan manis dan jasa mereka akan disebut-sebut terutamanya daripada anak-anak dan adik-beradik.











Sabtu, 1 November 2014

Hari Buka Diet

26 Oktober yang lepas, aku telah membuka diet aku setelah lebih lima minggu taat kepada arahan diet tersebut. hahaha


Banyak jugaklah yang aku makan. Pada 28 haribulan barulah start diet balik. Bila diingatkan, tak sedap sangat pun makanan yang aku teringin sangat-sangat nak makan tu. Rasa biasa je. Malah rasa pelik pula, makanan yang aku makan tu terlampau senang untuk dimakan. Apakan tidak, buka plastik je, terus ngapp. Goreng dalam 5 minit, terus aummm..Sedangkan masa diet aku menyiapkan makanan sekurang-kurangnya 20-45minit.  Kadang-kadang, kalau malas aku goreng telur je, tu pun jarang sangat.


Menyesal? Tak jugak, sebab aku rasa itu lebih baik sebab aku dah tak teringat-ingat akan makanan tu lagi dah. Berat memang naik, tapi itu semua berat air dan makanan dalam usus saja.


Aku bercadang untuk membuka diet lagi pada hari jadi aku. Tak pasti lagi sama ada pada hari jadi ke-25 tahun Masihi (28 November) ataupun hari jadi ke-26 tahun Hijriah (18 Februari 2015), atau kedua-duanya!hahaha


Kalau difikirkan balik, kedua-dua tarikh ini memang jauh dari satu sama lain, malah kalau dibandingkan tarikh dari mula balik diet dengan hari jadi ke-26 memang tersangatlah jauh. Hampir 3 bulan.


Ok, macam inilah, kalau aku dapat jawatan tetap/lulus temuduga dengan SPA nanti, aku akan teruskan diet sampai 18 Februari. Kalau tak dapat, aku nak raikan birthday pada November. Malah pada bulan Februari jugak!

Sabtu, 25 Oktober 2014

Kisah tiga orang pelanggan mesin fotostat

Selama aku bekerja di situ, ada 3 pengguna yang takkan aku lupa kisahnya.



Yang pertama, kena maki teruk-teruk punya, aku pun rasa nak menangis. Ini pengguna yang pertama marah aku. Dan ianya memang salah pihak atasan. Sebab itu jugalah aku mengambil keputusan untuk tidak mahu menyambung kerja lagi di situ pada bulan seterusnya. Setakat kena marah dan maki, aku boleh tahan lagi, tapi kerana kelalaian pihak atasan, aku memang tak boleh terima.



Kedua, tak mau bekerjasama, siap syarahan panjang berjela. Alahai, bukan lama sangat pun proses pengambilan data tu. Dah kerja aku telefon orang, tanya meter, kalau tak, takkan la saja-saja nak telefon. Sebulan sekali je pun.





Ketiga, aku tak tau pengguna tu lelaki ke perempuan (kerana nama orang cina), dan agak tergagap untuk menyebut Mr/Mrs dan diikuti nama beliau. Kemudian salah sebut nama pula. Terus dia marah aku, kata ‘nama orang cina pun tak boleh sebut ke? Nama saya senang saja Si Polan Polan Polan. Saya tak mahu berurusan dengan awak.’ (lebih kurang macam tu la). Terus letak telefon. Dalam hati, rasa macam nak maki saja orang cina berlagak tu.  Nasib baik hari tu hari terakhir aku bekerja disitu dan lagi 10 minit waktu bekerja akan tamat. Aku agak dia mesti menunggu  permohonan maaf dari aku. Memang tak la. Sedangkan nama aku pun selalu silap dipanggil, diejek dan salah eja  (dalam sijil pula tu!). Agaknya, ego dia terlalu tinggi kerana pencapaian yang telah dia dapat agaknya. Boleh jalan orang cam tu.

Pengalaman temuduga Penguasa Kastam W41

Aku berminat untuk berkongsi kerana sementara ianya masih melekat dalam minda.Aku ditemuduga di Cenderasari, dan memilih waktu waktu malam kerana kurang calon, suhu juga lebih selesa dan tidak sesak dengan trafik.


Sampai je, memang ramai calon berbanding semasa temuduga Pembantu Tadbir pada bulan Jun yang sudah. Tetapi terdapat banyak bilik yang dibuka menyebabkan temuduga kali ini lebih cepat habis. Nama aku dipanggil untuk ke meja urus setia lepas sikit dari pukul 8 malam dan habis temuduga lebih kurang  pukul 9.


 Masuk saja dalam bilik tu (K, 1023),panel terus saja membuka pautan SPA dan mencari sejarah aku dengan SPA. Aku rasa ada la dalam 5 minit mereka bercakap-cakap tentang latar belakang pendidikan aku, dan juga beberapa tawaran dipanggil temuduga yang aku tidak hadir. Aku pun hampir lupa semua itu, dan hanya teringat panggilan temuduga berkaitan imigresen yang aku tolak (disebabkan pemeriksaan kecerdasan). Tapi panel dari Kastam menyatakan aku tidak hadir temuduga untuk jawatan lain juga. Banyak pula. Aku pun fikir, ‘manalah aku tolak kalau dipanggil temuduga SPA.’ Fikir punya fikir barulah aku ingat, itu semua panggilan temuduga semasa aku menuntut diploma dulu (2008-2009). Setiap kali panggilan temuduga itu mesti jatuh pada hari yang ada kertas peperiksaan akhir semester. Jadinya, aku memang tak berpeluang langsung untuk hadir ke temuduga tersebut.


 Panel dari Kastam ada menanyakan tentang status pekerjaan aku, semestinya aku menjawab tidak bekerja (tapi terlupa pula nak cakap tentang usaha aku untuk mencari kerja). Abah ada pesan dalam kereta, jangan jawab tidak bekerja langsung, tapi aku malas nak tipu. Takut-takut terjerat diri sendiri pula nanti. Jadi aku cakap la pernah menjadi pembaca meter selama dua minggu (pekerjaan selepas graduasi). Sampai hati si panel tu gelakkan aku (aku pun nak tergelak sebenarnya..hahaha). Memang pekerjaan tu dengar sangat mengarut, tapi agak berat apabila ada pengguna yang marahkan kita. Selama aku kerja di situ,ada 3 pengguna yang takkan aku lupa kisahnya. 


Hanya selepas itu, barulah temuduga secara rasmi dijalankan. Panel dari SPA menyuruh aku mengenalkan diri dan mengapa memilih jabatan kastam sebagai profesion didalam Bahasa Inggeris (secara ringkas). Jadi, aku yang telah pun bersedia dengan Bahasa Inggeris ditambah MUET yang telah pun basi (expired); belasah je la. Akhir sekali, penutup kenapa aku pilih jabatan kastam aku cakap ‘untuk menjadi pegawai kastam yang berintegriti dan berbakti pada negara (semestinya dalam BI). Panel SPA tu pun gelak, ‘manalah awak dapat perkataan integriti ni.’ Aku pun tersengih kerang je. :P


 Selepas tu, panel berkenaan menanyakan tentang GST.




SPA: Awak ada baca tentang GST?


Aku: Ya, ada.


SPA: Banyak ke?


Aku: Boleh la… (sengih)


SPA: (sengih jugak)


SPA: Dimana GST tidak akan dikenakan? (sebelum tu memang ayat berbunga-bunga, jadi aku dah ringkaskan terus kepada soalan yang ditanya)


Aku:Padang Besar, Bukit Kayu Hitam dan Pulau Langkawi.


Kastam: Betul ke? Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam?


Aku: Aaa…erm, Pulau Labuan? Langkawi, Labuan dan Bukit Kayu Hitam?


Kastam: Betul ke Bukit Kayu Hitam? Awak mesti pergi banyak kali kat sana kan.


Aku: (sudah…) Masa kecik-kecik saja Tuan, selalu pergi Padang Besar saja. Erm.. Bukit Kayu Hitam saya ganti dengan Perlabuhan Pulau Pinang..


SPA: Erm.., tapi Perlabuhan Pulau Pinang tak ada aktivi jual beli kat sana.


Aku: (diam, sambil fikir, bila tengok si Kastam menulis jawapan aku kat kertas A4, terus aku dapat ilham..lambatnya..huhuhuh) Oh! Saya ganti dengan Perlabuhan Pulau Pinang dengan Pulau Tioman (for God’s sake Alia!)


Kastam: Jadi, ianya Labuan, Pulau Langkawi dan Pulau Tioman? 





Selepas tu, si SPA pun kata tidak ada soalan lagi dan terus menunjukkan aku ke arah kanan (arah jalan keluar). Dalam hati ‘Aik,takkan sekejap saja, pasal kastam tak tanya pun’, aku pelik dan teragak-agak. Pergh..nasib baik tak bangun dari kerusi, sebab dia maksudkan akan memberi tugasan temuduga tersebut kepada si Kastam pula (si Kastam kebetulan disebelah kanan beliau dan pada masa inilah, aku dapat pastikan siapa dari SPA dan siapa dari Kastam, semestinya dari SPA lebih peramah dan mudah tersenyum, kerana mengikut apa yang pernah aku dengar, mereka sememangnya hendak menolong calon dalam temuduga.) 



Si Kastam menanyakan tentang struktur organisasi JDKM. Berapa bahagian dan senaraikan 4 bahagian JDKM?


Aku: Semua sekali ada 9. Contoh 4 bahagian tersebut ialah; Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Cukai dalam Negeri, Bahagian Kastam dan Bahagian Perundangan(nasib baik tak suruh senarai semua,huhuhu).


Kastam: Terangkan tugas bahagian Penguatkuasaan?


Aku: Erm…. (aku pun hentam je, contoh yang aku beri ialah; dalam perlaksanaan GST, berada di sempadan. Jangan tiru jawapan ini, kerana ianya salah)



Si Kastam pun menerangkan jawapan yang sebenarnya yang aku pun dah lupa. Aku ni memang kurang daya tumpuan sikit.






 Kastam: Terangkan tugas Penguasa Kastam di perlabuhan.



Aku: (teragak-agak nak jawab, kerana yang aku tahu ialah tugas kastam secara menyeluruh, bukan dibahagian-bahagian tertentu)




Bila dia nampak aku macam tu, dia pun tanya, ‘tau ke tak?’ Aku cakap ‘tahu apa yang disenaraikan dalam pautan SPA saja. Secara terperinci tak pasti’ Beliau pun menyuruh aku menyenaraikan tugas yang aku tau.



Aku pun cakap dengan lancarnya bak si ‘hafizah’ tugas-tugas kastam. Dari situ dia pun menerangkan yang mana satu ialah tugas penguasa kastam di perlabuhan. Kerana apa yang disenaraikan disitu bukanlah dilaku oleh semua penguasa kastam; setiap penguasa ada tugas yang diberikan dan dibahagikan tugas.  Kalau tak silap ialah membuat taksiran harga barang bagi pungutan cukai dan memproses dan meluluskan permohonan pengimportan/pengeksportan bagi barang-barang di pintu masuk, pintu keluar negara, zon-zon bebas cukai dan gudang-gudang berlesen. 



Soalan akhir sekali ialah pasal 1Malaysia GTP. Masa ni aku dah maki diri sendiri. Alahai, kenapalah aku tak baca pasal ni. Aku pun terangkan apa itu satu Malaysia, tapi gagal menerangkan apa yang kerajaan buat untuk melaksanakan program tersebut (NKRA).








 TIPS:
  • BANYAKKAN PEMBACAAN TENTANG DASAR-DASAR KERAJAAN, TERUTAMANYA YANG TERBARU. CONTOH: GST, BAJET.

  • TAHU DAN HAFAL (BILA DISOAL, BOLEH JAWAB DENGAN LANCAR) TENTANG JABATAN YANG AKAN DITEMUDUGA. CONTOHNYA; JABATAN KASTAM DIRAJA MALAYSIA, JABATAN PERKHIDMATAN AWAM

  • PERSEDIAAN MESTILAH DIMULAKAN SEBAIK SAHAJA MENGETAHUI TAWARAN KE TEMUDUGA. JANGAN JADI MACAM AKU. 

  • BELILAH BUKU PENGAJIAN MALAYSIA UNTUK YANG MALAS BUKA INTERNET/TAK ADA INTERNET/SUKAKAN BUKU/ MALAS NAK PRINT/ TAK ADA PRINTER/ ADA PRINTER TAPI PRINTER TAK ADA DAKWAT/ ADA PRINTER TAPI PRINTER ROSAK/ ADA PRINTER TAPI TAK ADA KOMPUTER DAN SEBAGAINYA.
Harga RM 29.90.



  • KALAU JENIS MENGHAFAL MACAM AKU, SILALAH BUAT KAD IMBAS (FLASH CARD). SENANG NAK HAFAL, SEBELUM TIDUR PUN BOLEH LAGI CURI-CURI TENGOK DAN HAFAL. SAIZ KAD INI MUAT-MUAT TAPAK TANGAN AKU JE (TAPAK TANGAN AKU BESAR TAU!).BUATLAH KAD YANG BILA TULISANNYA DIBACA TAK MEMERLUKAN KANTA PEMBESAR. NAK BAWA SEMASA MENUNGGU TEMUDUGA PUN BOLEH, TAPI JANGAN BAWA SEMASA DI DALAM BILIK TEMUDUGA PULA.


Aku ada 2 set; satu berkenaan jawatan dan isu semasa, kedua ialah ahli jemaah menteri


UPDATE: Aku gagal dalam temuduga ini. Baru tengok keputusan tadi. :( keputusan keluar 20 hari lebih awal. Tahniah kepada yang lulus. (7.11.14)

Selasa, 21 Oktober 2014

The Big Bang Theory

Tajuk diatas bukan saja teori letupan besar yang selalu diwar-warkan untuk menjelaskan kewujudan ruang angkasa dan planet. Malah lebih 8 tahun dahulu, nama teori ni dikaitkan dengan sebuah drama komedi yang juga dikenali dengan nama teori berkenaan, The Big Bang Theory atau singkatannya TBBT.


Drama ini mengisahkan jalan kehidupan orang bijak pandai yang agak pelik dari segi pergaulan sosial. Satu-satunya nerda yang tidak mempunyai masalah tersebut ialah Bernadette (pada pandangan aku).  Cumanya, Bernadette ni agak garang dan menakutkan. Hahaha


Aku tak mau ulas panjang-panjang pasal TBBT; siapa pelakon, watak utama, dah ada berapa episod dan sebagainya. Aku cuma nak cakap pasal satu episod yang paling aku suka, yang sangat romatik dan juga lawak.  Episod itu adalah “The Romance Resonance”, episod ke-6 musim ke-7.


Dalam episod tu Howard bersama-sama kawan-kawan yang lain nyanyikan lagu kepada Bernadette sempena hari ulang tahun pertama mereka untuk janjitemu yang pertama (first date anniversary).


Walaupun dah tengok episod tu banyak kali, mesti juga akan mengalirkan air mata sebab terharu dengan lirik yang dinyanyikan.


If I didn’t have you, life would be blue
I’d be Doctor Who without the TARDIS
A candle without a wick, a Watson without a Crick
I’d be one of my outfits without a dick-ey
I’d be cheese without the mac,
Steve Jobs without the Wozniak
I’d be solving exponential equations that use bases not found on your calculator, making it much harder to crack

I’d be an atom without a bomb, a dot without the com
And I’d probably still live with my mom
And he’d probably still live with his mom

Ever since I met you, you’ve turned my world around
You’ve supported all my dreams and all my hopes
You’re like Uranium-235 and I’m Uranium-238,
Almost inseparable isotopes
I couldn’t have imagined how good my life would get
From the moment that I met you, Bernadette

If I didn’t have you, life would be dreary
I’d be string theory without any string
I’d be binary code without a one,
A cathode ray tube without an electron gun
I’d be ‘Firefly’, ‘Buffy,’ and ‘Avengers’ without Joss Whedon
I’d speak a lot more Klingon,
[Speaks Klingon]
And he’d definitely still live with his mom

Ever since I met you, you’ve turned my world around
You’re my best friend and my lover
We’re like changing electric and magnetic fields;
you can’t have one, without the other

I couldn’t have imagined how good my life would get
From the moment that I met you, Bernadette

Oh, we couldn’t have imagined, how good our lives would get
From the moment that we met you, Bernadette


Howard dalam kehidupan sebenar memang pandai bermain piano. Typical Jewish.




Sheldon yang nampak terpaksa. 









Bukan Bernadette je yang terharu. Aku pun.



(Bahagian ni la, aku sangat-sangat akan mengalirkan air mata, entah apa-apakan)
 Oh, we couldn't have imagined 
 How good our lives would get 
 From the moment that we met you 
 Bernadette. ♪


Sheldon yang germaphobic,terus melarikan diri selepas habis nyanyi. Part ni memang menyebabkan air mata aku terus kering, hilang rasa sedih/terharu langsung! Love you, Sheldon Cooper!





P/S- Asalnya, drama ini nak ditajukkan  sebagai ‘Lenny, Penny and Kenny’! .


Isnin, 20 Oktober 2014

Tertekan..

23 Oktober ni dah nak temuduga. Rasa tertekan sangat bila fikirkan benda ni. Macam mana kalau tak dapat jugak..

Rasa sedih sangat, bila masih tak bekerja ni. Dulu belajar dah pakai duit banyak, tapi sekarang ni masih belum menabur bakti pun kat ibubapa.

Hari tu mama cakap dia belikan aku beg tangan. Sepatutnya aku yang beli benda tu kat mama, bukan sebaliknya. Aku nak je cakap, 'kenapa bazirkan duit beli tu kat adik?' tapi tak sampai hati nak cakap.

Rasa diri tak berguna sangat.

Rasa macam memang tak dapat walaupun aku akan buat yang sebaik mungkin. Berapa banyak resume aku hantar, hampir semua tak telefon balik. Mungkin sebab;

1) Sangat gemuk.

2) Tak ada pengalaman bekerja langsung.

3) CGPA rendah.

Sampai sekarang aku menjauhkan diri aku daripada kawan-kawan. Mereka semua berjaya dalam hidup masing-masing. Bekerjaya, elok rupa paras, menyambung pelajaran, berkahwin/bertunang/milik orang, ada yang dah ada anak, ada kenderaan sendiri,  ada rumah sendiri dan lain-lain.

Bukan tak bersyukur dengan kehidupan aku sekarang; aku sihat walafiat, cukup makan dan pakai, ada tempat berlindung tapi bohong la kalau aku tak sedih dengan keaadan aku sekarang ni. Tak pernah aku ada dalam rancangan aku untuk menganggur lebih dari setahun ni.

Ahad, 19 Oktober 2014

Kyle XY

Cerita ni dah lama dah disiakan, malah ditamatkan siaran pun. Aku baru tengok 2 episod musim pertama.Sebab baru tengok adalah kerana:

1. Disiarkan di TV3.
2. Bukan disiarkan di ASTRO. :P
3. Baru teringat nak muat turun.



Comelnya Kyle! Senyuman dia nampak sangat tidak bersalah (innocent cakap mat saleh).


Kalau kalian tak percaya senyuman Kyle yang disebut saya ni comel, cuba tengok episod pertama dengan hati keemak-emakan (bajet ibu la sangat, padahal masih solo!).Rasa bahagia je bila dia senyum. Macam tengok bayi tersenyum je.


Apa pun, walaupun pengakhiran cerita Kyle XY ni tergantung, aku tetap akan tengok sampai habis, kerana masih ada ulasan daripada penulis skrip tentang plot tergantung itu dan pengakhirannya.


P/S- Matt Dallas (watak Kyle) adalah seorang homoseksual!

Khamis, 16 Oktober 2014

Menyahut seruan

Tajuk di atas ialah sempena menyahut seruan kerajaan yang telah berpenat lelah mengadakan kempen kesedaran. Seruan yang dijawab oleh aku ialah;

2)Pendermaan Organ

Sehingga saat ini, aku telah menderma darah sebanyak 17 kali. Kali pertama aku menderma adalah semasa berumur 17 ++ tahun. Ceritanya begini.

Situasi pertama;

Aku telah lama mengidam untuk menderma darah semenjak berusia 11 tahun selepas menghadiri perjumpaan ahli Bulan Sabit Merah di Jitra. Ketika itu, ada ramai orang termasuklah orang dewasa. Pada pandangan aku, mereka sungguh baik hati dan cekal kerana sanggup bersakit demi nyawa orang yang tak dikenali.

Situasi kedua;

Aku telah pun berumur 15 tahun. Aku menghadiri kelas tambahan di sekolah dan kebetulan ternampak sekumpulan pelajar tingkatan enam menderma darah di dewan sekolah. Semangat aku bertambah membara untuk menjadi penderma darah bila sudah cukup umur nanti.

Situasi ketiga;

Aku baru sahaja mencapai umur 17 tahun beberapa bulan yang lalu. Malah, hari lahir aku jatuh ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bagi matapelajaran Matematik Tambahan. Seusai menerima keputusan SPM yang tidak seberapa itu, aku menyahut panggilan PLKN oleh kerajaan. Aku bertambah gembira apabila dimaklumkan tentang kempen menderma darah akan diadakan di kem tersebut. Surat kebenaran waris telah pun diambil.

Tetapi, dengan keadaan yang sangat menganggu jiwa, aku mengambil keputusan untuk keluar dari kem menggunakan alasan untuk menyambung pelajaran di tingkatan enam.

Situasi keempat;

Aku masih berumur 17 tahun. Telah menempatkan kaki di UiTM Arau dalam jurusan Diploma Sains. Pelajar baru seperti aku semestinya menghadiri Kesatria. Pada suatu hari Kesatria, 24.8.07 aku menderma darah untuk kesekalian kalinya. Pendermaan darah buat kali pertama itu adalah seperti sambil menyelam minum air. Kerananya, cita-cita aku menderma darah telahpun tercapai dan aku tidak perlu menghadiri Kesatria untuk minggu tersebut.hehehe

Buruknya, aku telah menipu didalam borang tersebut semasa mengisi no. kad pengenalan. Ye lah, aku baru berumur 17 tahun, mana boleh menderma tanpa kebenaran waris. Kebetulan aku mengetahui tentang kempen itu pada hari berkenaan dan tidak mendapat makluman daripada Ketua Kumpulan Kesatria. 

Panjang betul sejarah perjalanan perdermaan darah aku.hehehe


Untuk pendermaan organ, aku tidak mahu cerita panjang lebar (malas nak menaip dan sudah mengantuk sebenarnya). Cukuplah aku menyatakan aku terdorong untuk menjadi penderma organ kerana beberapa berita yang telah disiarkan di televisyen semasa aku kanak-kanak dahulu (keluarga pesakit menyeru kepada orang ramai untuk tampil menderma sebahagian hati untuk anak mereka yang masih kecil). Ya, tidak lama dahulu, di Malaysia, mereka membenarkan pendermaan organ tanpa ikatan keluarga dan pendermanya masih hidup! Mungkin juga kerana kurangnya kesedaran pendermaan organ setelah meninggal dunia/mati otak.

Setelah habis belajar di sekolah menengah, aku terus menelefon tempat pendermaan organ dan mereka mengeposkan kad pendermaan organ kepada aku pada kemudian hari. Malah, pengikraran ini merupakan yang terawal daripada pendermaan darah. Aku berjanji akan membawa kad pendermaan semula di dalam beg duit jika BMI di bawah 40.

Entah macam mana aku teringat ada satu lagi ikrar yang belum aku buat, pendermaan sum sum tulang. Tapi masalahnya berat aku melebihi BMI 40. jadi aku terpaksa menangguh niat ini, dan akan ke Institute for Medical Research (IMR) apabila berat aku disekitar 90kg-95kg.Soalan lazim tentang pendermaan sum sum tulang/sel stem darah.



P/S- Tarikh pendermaan darah seterusnya aku bercadang untuk ke PDN pada 1.11.14. Aku harap tiada aral yang melintang seperti kekurangan hemoglobin. Aku juga akan cuba memohon bagi menjadi penderma aferesis.

Untuk HBU111 (Kesatria), gred semester tersebut aku memperoleh A+! Dahsyat betul penangan pendermaan darah. :P

Genap sebulan

Hari ini genap sebulan saya berdiet atkins. Berat saya naik dengan banyaknya sebelum puasa hinggalah pada sebulan yang lepas. Saya bertekad menurunkan berat badan kali ini walau apa jua rintangan. (ayat tak boleh blah)

Dengan berat paling seberat-beratnya pernah saya catat ialah 139.8kg, saya berjaya turunkan kepada 129.6kg.Manakala berat pada awal tahun  ialah 135.7kg.

Saya juga bersenam 30 minit sehari iaitu dengan mengayuh mini cycle dan mengangkat beban 5kg. Dulunya bercadang untuk ber'tabata', tapi masih kurang keyakinan diri, takut tercedera.

Mungkin selepas ini saya akan ber'squat'. Tujuannya untuk mengecilkan paha dan punggung.

Oh, ukuran pinggang saya pada bulan lepas ialah 49inch, sekarang sudah 46.75inch.

Sesetengah orang sangat mementingkan penurunan berat badan dan rasa tertekan apabila berat tidak turun. Merasa tertekan terhadap perkara tersebut sangat tidak munasabah kerana mereka sebenarnya mengalami pembakaran lemak, seterusnya pengurang inci di seluruh badan. Saya sangat cemburu terhadap individu seperti itu kerana banyak baju kurung saya yang sudah ketat.

Perubahan positif apabila melakukan diet ini ialah;

1. Buku lali sudah tidak bengkak lagi.
2. Kulit muka nampak berseri
3. Badan terasa lebih sihat dan ringan
4. Lebuh berdisplin dalam pengambilan makanan tambahan seperti kalsium dan minyak ikan

Saya menyertai kumpulan diet ini di facebook. Semalam ada seorang ahli telah mengemukakan cadangan untuk mengadakan perjumpaan sesama ahli. Bunyi menyeronokkan. Malangnya, saya seorang yang pemalu.

Malah, kalau ke mana-mana, saya selalu menundukkan pandangan daripada bertentang mata dengan semua orang, termasuklah dalam percakapan seharian (selalunya). Ini menjadi masalah kepada orang lain yang mungkin menganggap saya seorang yang kurang ajar, sombong atau/dan tidak berminat didalam perbualan.

Kesan daripada sikap ini memburukkan lagi kemahiran pengecaman wajah seseorang yang sudah lama saya 'hidapi'. Walaubagaimanapun, saya bukanlah 'face blind'.

Apapun, saya akan cuba teruskan diet ini sehingga BMI bawah daripada 40 (berat sekitar 105kg-108kg) sebelum 'cheat'. Menurut pengiraan, ianya mungkin 4 bulan dari sekarang. Dan saya sudah pun ada senarai makanan yang teringin sangat hendak dimakan. :P

Selasa, 16 September 2014

Masih...

Masih.....

Tidak bekerja,
Tidak berpunya,
Tidak kurus (gemuk la senang cakap),
Hidup!!


Aku masih seperti sebelum-sebelum ini. Hebat juga aku ni kalau difikir-fikirkan balik.Ye la, dah setahun lebih menganggur. Paling hebat, aku masih terasa macam baru semalam aku menganggur!

Memang bosan.

Walaubagaimana pun, aku dah membuat keputusan untuk berubah. Aku akan usaha juga mendapatkan kerja dengan lebih agresif lagi. :)


Dalam tahun ini sahaja, aku dipanggil ditemuduga SPA8 sebanyak 3 kali.


Panggilan pertama ialah dari Jabatan Imigresen. Aku tersalah isi jawatan tersebut dengan tidak membaca keperluan fizikal yang diperlukan bagi memenuhi syarat pertama untuk ke saringan seterusnya. Akhirnya, aku tidak menghadirkan diri pada hari temuduga berkenaan.

Panggilan kedua ialah dari Jabatan Perkhidmatan Awam. Sayangnya aku gagal temuduga tersebut. Kebetulan aku mengetahuinya pada hari lebaran bagi umat Islam. Sedih memang sedih. Tapi aku percaya ini sudah ketentuan takdir Illahi.

Panggilan ketiga ialah dari Jabatan Kastam. Gembira sungguh rasa di hati kerana inilah panggilan pertama dari SPA8 berdasarkan kelayakan akademik aku. Rasa gembira itu tidak lama apabila mengetahui terdapat seramai lebih 85,000 pemohon dipanggil untuk menempuh halangan pertama iaitu, peperiksaan atas talian. Jawatan kosong yang disediakan adalah cuma 245 kekosongan. Rasa seakan diri ini kerdil. Bagaimanapun, aku berjaya menempuh peperiksaan tersebut, dengan pelbagai halangan (kematian datuk , menjawab peperiksaan dalam keadaan tidak sihat, kegagalan server semasa menduduki peperiksaan kali pertama etc).

Bagaimanapun, perjuangan ini belum lagi selesai. Aku perlu bersedia untuk saringan seterusnya iaitu Assessment Centre kemudian barulah ke pusingan temuduga, itu pun kalau lulus ujian Assessment Centre.

Aku berdoa semuanya akan berjalan lancar. Amin.




Isnin, 9 Jun 2014

Breaking Bad

Aku mula ketagih tengok drama lebih kurang 2-3 minggu lepas.

Kisahnya, seorang guru kimia yang menghidapi kanser selepas dia menyambut hari jadi ke-50.

Dia mula resah bila mengetahui tidak mempunyai duit yang banyak untuk ditinggalkan kepada anak dan isterinya setelah dia pergi nanti.

Dia mula membuat keputusan untuk membuat dadah jenis metafetamin. Oleh kerana dia sangat pakar dalam bidang kimia, menyediakan dadah yang hampir tulen tiada masalah baginya.

Dia berpakat dengan bekas pelajarnya, yang juga seorang pengedar dan juga penagih dadah; Jesse Pinkman.

Bermula daripada saat itu, Walter White menjalani dua kehidupan; seorang pembekal dadah dan juga seorang guru, bapa, suami dan pesakit kanser.

Yang menariknya, Walter White mempunyai biras yang bekerja sebagai agen DEA. Di Malaysia, DEA ni lebih kurang macam polis bahagian narkotik.

Mangsa pembunuhan pertama Walter White ialah Emilio. Selepas itu, Domingio. Sehingga membawa kepada 167 orang mangsa tragedi pelanggaran kapal terbang di atas udara dan banyak lagi.

Apa-apa pun, aku baru tengok sampai musim ke-4 sahaja. Mestilah aku tidak mengetahui kesudahan cerita ini lagi buat masa sekarang.

Kesimpulannya, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

Isnin, 2 Jun 2014

Hobi yang tidak menjemukan

Aku ada hobi yang agak keanak-anakan. Mengumpul lego..


Oleh kerana tiada dana yang mencukupi, tiada pekerjaan langsung selepas graduasi, aku hanya mampu membeli lego ciplak jenama Enlighten. Harganya memang murah. Tetapi sangat berpuas hati dengan rekaannya. Walaupun masih murah berbanding jenama lain, aku  masih tak mampu untuk beli banyak. Sekadar yang aku rasa sangat-sangat ingin memiliki.


Tema yang paling aku suka ialah Angkasa Lepas dan Bomba.


Sebagai graduan lepasan sains, semestinya aku meminati perkara yang ada berkaitan dengan sains. Suatu masa dahulu, aku ada bercita-cita untuk menjadi angkasawan. Banyak jugaklah buku-buku berkenaan planet yang aku belek.


Bomba...


Boleh dikatakan, aku disampuk hantu api! Aku dilahirkan dibawah zodiak api, numerologi hari lahir aku juga ialah elemen api, malah hari di saat aku dilahirkan juga ada perkataan api dalam tulisan kanji (bahasa jepun); ka-yobi. Agaknya sebab itulah aku alergi sejuk kot, kerana ianya bertentangan dengan elemen aku. (Amaran: Jangan terlalu taksub dengan zodiak dan numerologi, boleh membawa syirik.)



Oh, pasal bomba.. Satu hari, aku rasa ianya hari sabtu kerana cuti sekolah, semasa di Tingkatan 4 atau 5, kawanku yang tinggal di berek polis mengkhabarkan, bahawa terdapat bangunan terbakar berdekatan dengan tempat tinggalnya. Jadi, aku pun yang sudah terbiasa bangun awal pagi kerana selalu  pergi bersenam di Tasik Jitra bergegas ke tempat berkenaan.


Seingat aku, itulah kali pertama aku melihat api membaham bangunan. Semasa aku sampai di tempat kejadian, pihak bomba telah pun mencuba memadamkan api. Lama juga untuk api tu terpadam. Kedai yang pertama dan kedua memang terbakar hangus.


Ketika api sudah pun berjaya dikawal, aku mula mendekati bangunan itu. Ramai juga orang di situ. Maklumlah, hari cuti dan Jitra tidak seperti sekarang, tidak banyak kenderaan. Ketika itu, aku terperasan ada seorang wartawan sedang menemuramah Pegawai Bomba yang berpangkat tinggi. Rasa-rasanyalah, kerana pakaian bombanya tidak berwarna oren tetapi hijau tua. Masa tu, aku terbayangkan dia ialah Gil Grissom daripada watak fiksyen terkenal; CSI. Mereka mempunyai susuk badan yang sama dan tenang menjawab soalan yang dilontarkan oleh wartawan.


Dan, pada masa itu juga aku mendapat inspirasi untuk menjadi seorang anggota bomba! Sementelah pula, bagi aku kerja sebagai bomba ibarat seorang adiwira seperti Superman, Spiderman dan kebetulan aku tidak mempunyai daya menahan kesejukan.


Malangnya, aku mempunyai masalah visi dan obesiti.


Kebetulan sudah disebut tentang adiwira, aku juga mengumpul beberapa lego mini-figura adiwira. Yang paling aku suka semestinya Iron Man dan Iron Patriot. Kalau tak silap, aku memiliki 23 mini-figura lego ciplak yang merangkumi adiwira; penjahat lagenda terkenal seperti Joker dan Loki, dan juga Mr. Eugene Crab! Watak kartun Spongebob Squarepant.


Ahad, 1 Jun 2014

Hidup seorang diri

Kadang-kadang susah juga, hati jadi cemburu bila tengok kawan-kawan lain seorang demi seorang mendirikan rumah tangga. Sedangkan aku ni bercinta sekali pun tak pernah.

Makin lama aku sedar, bukan aku seorang je yang mengalami nasib ni, ramai lagi.


Kadang-kadang aku ok je walaupun berseorangan, tapi bila lihat orang lain menyebarkan kebahagian berumah tangga, mempunyai teman, aku rasa hidup ni tak sempurna, terus jadi sedih.


Bukan sahaja tiada teman hidup, malah kawan pun tak ramai. Maupun rupa dan kerjaya entah ke mana.


Kecewa juga dengan diri sendiri.


Bila tengok orang ada kerja, terbayangkan betapa bertuahnya mereka, aku masih terkapai-kapai.



Rabu, 21 Mei 2014

Kiub Rubik


Memang susah nak selesaikan kalau tidak dipegang! Menggunakan minda menyelesaikan kiub ditambah pula putaran yang perlu dibuat perlu berhati-hati supaya semua usaha, penat lelah tidak lenyap begitu sahaja; meletihkan.

Ahad, 18 Mei 2014

Resurrection (The Returned)

Ceritanya sangat menarik. Seakan-akan cerita 4400, kerana pada musim yang pertama, penonton masih lagi tertanya-tanya apakah motif disebalik fenomena yang berlaku ini. Oh, dan juga Lost!


Apa-apapun, tak mahu membaca buku cerita tersebut, walaupun tak sabar menanti musim yang kedua.

Tomorrow People

Baru sahaja selesai menonton 22 episod cerita tersebut. Boleh dikonklusikan sebagai cerita yang memeningkan. Apa-apapun, baru sahaja mengetahui cerita ini tidak akan disambung untuk musim kedua.

The 4400

seingat saya, lebih kurang sedekad yang lalu ada menonton beberapa siri daripada  cerita ini.  Seperti biasa, mahu memuat turun sebab nilai sentimen dan juga menarik, saya pun mengoogle tajuk berkenaan. Malangnya, ceritanya tidak disambung untuk musim ke lima. Ramai penonton membantah dan menghantar petisyen bagi kesinambungan cerita berkenaan. Tetapi, tidak berjaya. Cerita itu tergantung pada penamatnya (kata penonton yang pernah menonton).

konklusinya, saya tidak jadi nak memuat turun seterusnya menonton cerita berkenaan kerana tidak mahu berasa kecewa dikemudian hari.

Jumaat, 9 Mei 2014

Zaman Kanak-Kanak: Migrain

Saya pernah cerita bahawasanya saya mabuk kereta satu ketika dahulu.


Dan itu bukan satu-satunya cerita pelik yang dikawal oleh gen dan sistem biologi saya.


Saya juga tidak boleh minum kopi dan makan coklat suatu ketika dahulu. Saya rasa ianya kena-mengena dengan kafein yang menyebabkan migrain teruk. Mahupun demikian, saya tidak pula pening kepala apabila meminum Coca cola!


Saya belajar untuk menjauhkan diri daripada memakan/meminum benda-benda tersebut dalam menu harian/tahunan. Kadang-kadang saya berasa pelik;

"Kenapa abang dan yang lain-lain sangat suka makan kek coklat yang Kak Yong selalu buat tu?"
"Tak pening kepala ke? Bau pun dah memeningkan."
"Sedap sangat ke almond london tu?"
"Susu coklat! Eeee..." 
"Arghh...Vanilla dah habis, kenapa depa ni x makan je coklat tu!" (merujuk pada aiskrim neopolitan yang dimakan adik-beradik lain.)


Paling teruk sakitnya, semasa saya termakan gula-gula perisa nescafe, sakitnya berdenyut-denyut seolah-olah urat di otak saya seakan-akan mahu meletup!


Yang menghairankan, semua benda tersebut sudah boleh dimakan/minum oleh saya sekarang ini. Walaupun demikian, saya tak begitu gemarkan pilihan makanan tersebut. Pernah juga membeli Chocolate Moist yang akhirnya diberikan kepada rakan selepas makan hanya beberapa suap. Sampai sekarang saya tak pernah minum kopi lebih daripada satu mulut (kerana satu cawan itu terlalu mainstream!). Pernah sekali saya mencuba sesudu, dan ianya rasa sangat tak menyelerakan bagi saya. Biskut raya berasakan coklat sangat memualkan.


Ada diceritakan kepada rakan-rakan, hampir semua memberi komen yang sama, "Hilang nikmat hidup!". Iya ke begitu? (Grin)


Hanya satu, satu sahaja coklat yang benar-benar menyusahkan, memerangkap, menganggu hidup juga mengopakkan beg duit saya; Cadbury: Black Forest!

Sangat ironik!


p/s: Cadbury: Black Forest dinikmati sepenuhnya selepas tidak lagi migrain disebabkan coklat!





Kebelakangan ini

Nak mula dari mana ya? 

Oh.. Dukacita dimaklumkan, hayat Dongle Yes ke-3 dah tamat. Dan sebab itu jugalah dah lama saya tak menulis di sini. Baru sahaja beli yang baru, baru-baru ini. (grin)


Saya juga bekerja separuh masa selama 2 minggu (10 hari ) di pejabat yang menjual mesin fotostat (umum dikenali begitu). Tempat kerjanya begitu selesa sekali. Terdapat mesin layan diri yang percuma (minum sampai kembung). Persekitaran yang selamat. Bekerja mengikut waktu kerja umum. Tempat kerja yang berdekatan dengan kemudahan awam. Senang cakap, 9.7/10 markahnya. Kalaulah disitu ada kerja tetap.. 


Tak banyak kejadian menarik berlaku, Ayie beli laptop, saya beli kiub rubik yang terpakai daripada seseorang di alam maya. Pyraminx, Megaminx, Square One dan Gear Cube. Gear Cube saya dah jahanam oleh kepandaian saya sendiri! Tahniah buat diri sendiri. 


Dari kiri atas ke kiri bawah: 5x5x5 aka The Professor, 3x3x3 (yang diberi percuma), Gear Cube (dalam kenangan), Megaminx, Square One dan Pyraminx. 4x4x4 tiada dalam gambar kerana ditinggalkan di Klang. Dan ya, saya akui, beliau dianak-tirikan!



Saya juga banyak memuat turun filem-filem luar negara dan cerita siri lama dan baru melalui Torrent di Kafe Siber Orange. 


Dalam kehidupan orang lain yang lebih mengujakan (dan juga memenatkan), Kak Tie dah pindah ke rumah baru. Walaupun lebih kecil, tapi persekitaran lebih selamat. Kak Tie juga menggantikan seorang guru tadika yang bersalin. Rumah mereka juga berdekatan dengan surau. Mat Hazeq sangat suka ke surau dengan abahnya, sampaikan mengamuk kalau pergi tanpa dia. Ika dan Mat Hazeq juga semakin nakal dalam mengusik/menganggu saya. Sayangnya Chik Ya kepada kalian! :)


Kucing nakal terbaru Kak Tie, Ompok dan Winnie. 


Ya, gigi 25 saya berjaya dicabut pada 18 Mac. Sudah hampir 2 bulan, lubang bekas gigi tersebut belum tertutup sepenuhnya. Positif ianya diakibatkan jangkitan kuman pada tisu gusi. Sedih sangat diatas kehilangannya (berkabung juga). Tak boleh dibayangkan kalau satu hari nanti, saya kehilangan sesuatu yang lebih berharga daripada sebatang gigi. 


Rekod gigi saya. 


Malangnya, gigi disebelah 25, saya pun tak pasti nombor berapa gigi tersebut,( mungkin 26 atau 24?) mulai sakit hampir 3 minggu lalu. Sekarang, ianya sangat sakit hingga tak tertahan walaupun dah tekan pressure points. Tapi oleh kerana sudah biasa menanggung sakit gigi, saya hanya mengawalnya dengan pil sebelum balik ke Kuala Lumpur semula. (Ya, saya di Kedah sekarang!) Sakitnya mengalirkan air mata tanpa disedari, tanpa dibuat-buat, tanpa disengajakan. (boleh tak nak gelak dalam sedih? grin) Tak pernah saya sakit gigi sedemikian rupa, sehingga menangis (cara bacaan, mengalirkan air mata).Saya ada terbaca komen seseorang di internet mengenai masalah sakit gigi yang hampir sama dengan beliau, katanya lebih sakit kalau dibandingkan dengan pengalamannya melahirkan anak. Betul ke? Kiranya saya dah lalui pengalaman beranak lah ye? Entahlah berapa kali saya dah beranak pinak.. (gelak guling-guling sambil menahan sakit)



Berada di Kedah sangat menenangkan dengan kehadiran mama. Seronok betul dapat sembang dengan mama, mengusik mama. Mama masih tak mau ke KL kalau kena tinggal dengan menantunya. Katanya tak selesa. Tak sama dengan Kedah, rumah sendiri. Abah pula tak memaksa mama tinggal disana bersama dia. 


Kami ke rumah Tok Tom, dan mengemas kerana ada orang nak menyewa. Hari ke-3 saya menarik diri kerana merasa bosan dan letih ke sana. Dah menjadi tabiat, amat sukar untuk saya keluar dari rumah selalu kecuali ianya rutin harian seperti pergi ke sekolah, kelas atau tempat kerja. Kalau diberi pilihan, sudah semestinya saya memilih rumah daripada keluar berjalan-jalan. Memang daripada kecil lagi sudah begini. Amat sukar untuk saya menaiki kereta dulu tanpa rasa mabuk. Mungkin itulah antara punca saya benci (mungkin lebih tepat penggunaan perkataan ini) untuk keluar. Mahupun demikian, saya juga suka keluar ambil angin sekali sekala (jalan sekitar kawasan radius 10-20km); seminggu sekali sudah memadai. Syukur sekarang tidak lagi mabuk kereta. 


Sewaktu mengemas rumah tersebut, saya terjumpa barang lama/ antik yang menarik perhatian untuk dibawa balik sebagai buah tangan (grin). Dua barangan tersebut ialah tabung kraf tangan peninggalan Tok Nek (moyang yang tak pernah bersua muka kerana perbezaan zaman ) dan Stereobox berserta filem dari Mekah peninggalan Tok Tom.  Mengejutkan, Stereobox itu masih berfungsi sepenuhnya, beberapa minit sebelum rosak ditangan saya (kena babab tangan ni, biasa sangat dia ni!). Masih boleh digunakan, cumanya tak seefisyen seperti awalnya. Oh, ianya 3D! Kerana kejahilan, saya membuka cermin mata untuk melihat ke dalam Stereobox tersebut, dan hanya dapat melihat sesuatu yang sangat kabur. Saya dengan yakinnya mengatakan filemnya sudah rosak dimamah zaman, dan memberikan kepada mama. Mama kata, ianya jelas.Dan selepas itu barulah saya tahu bahawa ianya kena dilihat dengan menggunakan cermin mata. Imej filem tersebut terpapar sangat jauh dari jarak penglihatan mata saya untuk dilihat dengan jelas. Ianya seperti, saya berada di tempat duduk terbelakang dalam sebuah panggung wayang tanpa cermin mata. 


Stereobox dan filem, tabung, buku nota bertulisan tangan yang pernah menyewa bilik di rumah Tok Tom suatu ketika dahulu dan juga sebuah buku yang berjaya dibaca habis selepas beberapa tahun tidak membaca buku cerita kategori fiksyen. (ianya satu rekod! grin)