Sabtu, 3 Februari 2018

Wildan-wildan syurga

Assalamualaikum.


Dah masuk bulan ke-2 , 2018. Mati-mati aku ingat ada buat post untuk bulan Januari.


So, beberapa hari ni aku asyik teringat pada seorang kawan lama.


Kawan ke? Mungkin kenalan lebih sesuai, sebab kami tak pernah sekepala ataupun bersembang baik-baik mahupun bermain bersama. Well, dia setahun tua daripada aku. Kami kenal semasa di kelas fardhu ain setiap pagi Jumaat di surau taman perumahan.


Arshad namanya.


Hari Jumaat tersebut, pada jam-jam terahir dia di atas muka bumi, kami ada bergaduh. Biasalah, budak-budak perempuan dengan lelaki mana pernah ngam. Dia nak kipas dinding hala pada dia saja, aku pula nak kipas hala pada aku. Mungkin lebih baik kalau kipas itu dibiarkan berpusing 180 darjah. Sekejap-sekejap kami bangun dan lawan tarik tali kipas. Nasib baik kipas tak jatuh. hahaha


Aku ingat lagi dia lukis mini teng-teng dengan kapur di atas meja, dan guna jari untuk 'lompat' ke dalam kotak-kotak tu. Nampak fokus je.


Beberapa jam selepas tu, abang aku balik daripada solat Jumaat dan bagitau dia meninggal, kemalangan depan masjid. Katanya dahi dia pecah sikit dan nampak tengkorak. Abang aku usik, katanya nanti hantu Arshad datang kat aku sebab bergaduh dengan dia masa kelas pagi tadi. Aku cuma mencebik kat abang aku. Tak de rasa sedih pula dia meninggal masa tu, sebabnya bagi aku, dia pergi ke syurga sebab mati sebelum baligh. Rasa macam dia sangat beruntung pula. Cuma terbayang, mesti mak ayah dia sangat sedih.


Beberapa minggu selepas itu, ada seorang kakak(ustazah) menggantikan ustaz, mengajar kami. Masa ambil kedatangan, nama Arshad dipanggil, kami semua kata dia dah mati. Dia tergelak. Bila tengok kami serius, baru dia tanya, "Korang serius ke ni?". Dia ingat kami main-main. Yela, budak-budak kan banyak bergurau. Teringat lagi betapa terkejutnya kakak tu. Air muka dia berubah.


Kalau aku berada di tempat kakak tersebut, aku pun akan terkejut dan sedih. Muda lagi, masih kanak-kanak. Banyak harapan yang mak ayah Arshad pertaruhkan ke atas dia. Anak sulung pula tu. Pemergian yang mengejut.


Sekarang Arshad dah jadi wildan di syurga. Kadang-kadang terbayang, mungkin dia ada bermain dengan mak cik- mak cik aku, sepupu-sepupu dan baby H di syurga. Kalau dia masih ada, dah berumur 30, tahun ni.


Bertuahlah ibu bapa yang ada wildan-wildan syurga, mereka akan menarik tangan ibu bapa dengan membawa air di pintu syurga kelak.


Salam takziah dan tahniah.