Khamis, 13 Mac 2014

Bazir masa + bazir wang = Pengalaman?

Umum diketahui (cuma orang yang terlibat dan berada di sekeliling je) gigi saya mempunyai masalah sejak 2012 lagi. Atau 2011. Tak pasti.

Dua batang gigi yang saya dapat entah sejak bila gigi susu mula merapuh, telah rosak akibat kecuaian dan ketiadaan ilmu tentang penjagaan gigi yang betul.

2 hari lepas, iaitu pada hari ulangtahun kedua yang meragut hampir 10,000 nyawa dengan gempa bumi yang telah menyebabkan tsunami di Jepun, saya menunaikan temujanji untuk pemeriksaan selepas rawatan akar dengan doktor gigi.

Sebenarnya, selepas temujanji yang terakhir, gigi saya mula sakit seperti rawatan akar yang pertama dulu-dulu. Kesakitannya amat melampaui batas ketahanan diri.

Pressure points tidak lagi berkesan.

Ubat tahan sakit ditelan.

 Betul cakap orang yang berpengalaman, kalau didalam situasi yang ada dua orang pesakit, rawatlah orang diam dan keras macam batu dulu daripada orang yang terjerit-jerit merintih kesakitan.

Sakitnya buat saya terdiam.

Doktor cakap ada dua kemungkinan; akar gigi retak ataupun ada jangkitan kuman pada gusi.

Dalam X-ray tiada kelihatan jangkitan tisu tersebut. Malah tiada rasa sakit pada gusi ini. Kemungkinan jangkitan kuman pada gusi sangat kecil. (Pendapat sendiri.)

Doktor memberi pilihan supaya diteruskan dengan Pembedahan Kecil Apical dan meneruskan perjuangan dalam proses menyelamatkan gigi ini. Tapi, saya dah buat keputusan sebelum datang; pembedahan itu sama sekali tidak akan saya pilih.

Maka, dengan berat hati, saya membuat keputusan, gigi ini akan dicabut. Memo mula ditulis.

 Maaf gigi, saya telah berputus harapan. Terima kasih sepanjang perkhidmatan kamu, semasa susah mahupun senang.

Kematian gigi ini akan membawa kepada pengembaraan/pengalaman terbaru saya, iaitu Perjalanan Mendapatkan Gigi Gantian/Palsu,.