Memaparkan catatan dengan label hakikat orang gemuk. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hakikat orang gemuk. Papar semua catatan

Isnin, 10 November 2014

Realiti Orang Gemuk

Gemuk.


Gemuk yang aku maksudkan, bukanlah gemuk yang terlebih 5-15kg. Tapi gemuk yang melebihi 50kg daripada berat ideal. Gemuk seperti ini selalu dikategorikan sebagai obes.


Aku gemuk. Gemuk obesiti tahap-3. Pergi mana je mesti ada yang memandang. Aku dah biasa dengan pandangan seperti ini. Ada yang menyampah, dalam hati mereka mesti kata 'Ah, orang gemuk selalu pemalas.'


Tahukah anda, gemuk adalah penyakit genetik? Ada yang tak bersetuju dengan pandangan ini. Masih dalam kajian katanya.


Mula-mula, aku pun tak setuju dengan pendapat ini, Tapi salasilah keluarga aku, banyak yang gemuk. Ayah aku gemuk kalau bukan kerana diabetes, mama pun sama. Sejak dari kecil lagi aku berisi. Tak pernah berbadan kurus. Masalah kenaikan berat badan menjadi kritikal semasa aku baligh sampailah sekarang. Aku boleh makan dan makan walaupun tanpa rasa lapar. Kenyang? Sekejap saja. Sehingga sekarang, penyakit gemuk tiada penawar (cannot be curable) tapi boleh diatasi  (can be treatable). Antaranya melalui penggurangan kalori makanan, bersenam, dan pembedahan.


Hakikatnya, orang gemuk selalu didiskriminasi.


Aku tak tahu ada tak pembaca yang gemuk macam aku, tapi ini pengalaman aku menjadi seorang gemuk obesiti tahap 3. BMI aku pernah melebihi 50.



Aku tak pernah ada kekasih. Tak ada sesiapa pun yang nakkan aku. Siapa yang nakkan orang yang obes? Lelaki lebih rela amik perempuan kurus yang kurang cantik daripada orang gemuk.


'Ada je orang gemuk berkahwin.'


Aku cakap, 'Boleh bilang dengan jari.' Berapa banyak yang tak ada kekasih/berkahwin sebab obes. Berlambak-lambak. Ingat, ini bukan kisah berat badan berlebihan, ini kisah orang obes tahap 3. Tak percaya, cuba masuk laman mencari jodoh di facebook, ramai gadis-gadis, anak dara - anak dara yang membuat 'iklan' ialah orang yang obes. Ada seorang lelaki komen dekat seorang gadis yang mengiklan, 'Macam ni beras 10 kg pun tak cukup sebulan, hantaran RM500 pun aku tak mau'. Gadis itu beratnya dalam lingkungan 90kg. Bayangkan jikalau dia mempunyai berat seperti aku, entah apa lagi caci maki yang dia terima.




Pekerjaan. Sampai sekarang aku tidak mempunyai kerja. Kadang-kadang terfikir, 'buat habis duit saja pergi temuduga, tak ada pun yang nak ambil si gemuk ni.' Ada orang akan berbalah, 'ada je orang gemuk kerja kat tempat sekian-sekian'. Berapa orang gemuk yang kamu kenal? Masa dia mula kerja dulu, memang dah gemuk macam tu ke? Jawatan apa yang dia pegang?



Temuduga-temuduga yang lalu, masih boleh ingat reaksi mereka. Ada yang tersenyum mengejek, menyoal tentang kemungkinan aku malas berjalan, endah tak endah. Mula-mula , aku pun tak mau percaya statistik yang menyatakan orang obes susah dapat pekerjaan, tapi bila dah jadi kat aku, baru aku percaya. Baru-baru ini aku terima e-mel daripada majikan yang pernah aku minta kerja. Aku ingatkan panggilan temuduga, rupa-rupa suruh aku diet. Aku tak marah, cuma kecewa sebab statistik itu betul. Kecewa dengan diri sendiri. Ingat aku suka ke jadi gemuk? Dah berapa lama baju aku tak bertukar. Sampai reput, berlubang sana sini. Bukan tak ada baju saiz besar jual kat kedai, tapi kalau dah sehelai RM50 ke atas, mana mampu nak beli, seluar paling 'murah' RM 80. Tambahan pula aku tak kerja.



Ada yang cakap, jadilah juruwang (cashier), kerja kat KFC, McD. Bukan aku memilih, masalahnya nak berdiri sejam pun sakit tumit rasa macam nak pecah, urat tapak kaki rasa macam nak meletup. Aku pernah kerja jadi 'saleswoman' hampir setahun yang lepas, aku terpaksa berhenti selepas 4 hari turun padang, sakit kaki hanya Allah saja yang tahu. Aku selalu letih dan tak bermaya. Padahal aku suka sangat kerja tu. Gembira sangat apabila rakan sekerja semuanya baik-baik dan peramah.



Hanya baru-baru ini, aku mula diet bersungguh-sungguh. Bukan senang nak istiqamah. Walaubagaimanapun, aku bersyukur kepada Allah kerana memberi semangat untuk aku meneruskan diet ini. Dengan izinNya, aku berjaya istiqamah sampai hari ke-53(hari ini), yang mana sebelum ni selalunya kurang 14hari.



Aku takkan mengalah dengan ketidakadilan dunia ini. Insya Allah, akhir tahun 2015, aku akan mencapai berat yang normal. Aku akan cuba membantu orang lain pula untuk menurunkan berat badan, bukan kerana sebab cacian hinaan mahupun riak, tetapi kerana tubuh badan ini milik Allah, pinjaman daripada Allah, dan Dia pernah berfirman supaya jangan menzalimi diri sendiri.



Jadi, wahai golongan-golonganku sekalian, jangan cepat putus asa. Allah tidak bebankan kita melebihi kemampuan yang kita ada.