Sabtu, 25 Oktober 2014

Pengalaman temuduga Penguasa Kastam W41

Aku berminat untuk berkongsi kerana sementara ianya masih melekat dalam minda.Aku ditemuduga di Cenderasari, dan memilih waktu waktu malam kerana kurang calon, suhu juga lebih selesa dan tidak sesak dengan trafik.


Sampai je, memang ramai calon berbanding semasa temuduga Pembantu Tadbir pada bulan Jun yang sudah. Tetapi terdapat banyak bilik yang dibuka menyebabkan temuduga kali ini lebih cepat habis. Nama aku dipanggil untuk ke meja urus setia lepas sikit dari pukul 8 malam dan habis temuduga lebih kurang  pukul 9.


 Masuk saja dalam bilik tu (K, 1023),panel terus saja membuka pautan SPA dan mencari sejarah aku dengan SPA. Aku rasa ada la dalam 5 minit mereka bercakap-cakap tentang latar belakang pendidikan aku, dan juga beberapa tawaran dipanggil temuduga yang aku tidak hadir. Aku pun hampir lupa semua itu, dan hanya teringat panggilan temuduga berkaitan imigresen yang aku tolak (disebabkan pemeriksaan kecerdasan). Tapi panel dari Kastam menyatakan aku tidak hadir temuduga untuk jawatan lain juga. Banyak pula. Aku pun fikir, ‘manalah aku tolak kalau dipanggil temuduga SPA.’ Fikir punya fikir barulah aku ingat, itu semua panggilan temuduga semasa aku menuntut diploma dulu (2008-2009). Setiap kali panggilan temuduga itu mesti jatuh pada hari yang ada kertas peperiksaan akhir semester. Jadinya, aku memang tak berpeluang langsung untuk hadir ke temuduga tersebut.


 Panel dari Kastam ada menanyakan tentang status pekerjaan aku, semestinya aku menjawab tidak bekerja (tapi terlupa pula nak cakap tentang usaha aku untuk mencari kerja). Abah ada pesan dalam kereta, jangan jawab tidak bekerja langsung, tapi aku malas nak tipu. Takut-takut terjerat diri sendiri pula nanti. Jadi aku cakap la pernah menjadi pembaca meter selama dua minggu (pekerjaan selepas graduasi). Sampai hati si panel tu gelakkan aku (aku pun nak tergelak sebenarnya..hahaha). Memang pekerjaan tu dengar sangat mengarut, tapi agak berat apabila ada pengguna yang marahkan kita. Selama aku kerja di situ,ada 3 pengguna yang takkan aku lupa kisahnya. 


Hanya selepas itu, barulah temuduga secara rasmi dijalankan. Panel dari SPA menyuruh aku mengenalkan diri dan mengapa memilih jabatan kastam sebagai profesion didalam Bahasa Inggeris (secara ringkas). Jadi, aku yang telah pun bersedia dengan Bahasa Inggeris ditambah MUET yang telah pun basi (expired); belasah je la. Akhir sekali, penutup kenapa aku pilih jabatan kastam aku cakap ‘untuk menjadi pegawai kastam yang berintegriti dan berbakti pada negara (semestinya dalam BI). Panel SPA tu pun gelak, ‘manalah awak dapat perkataan integriti ni.’ Aku pun tersengih kerang je. :P


 Selepas tu, panel berkenaan menanyakan tentang GST.




SPA: Awak ada baca tentang GST?


Aku: Ya, ada.


SPA: Banyak ke?


Aku: Boleh la… (sengih)


SPA: (sengih jugak)


SPA: Dimana GST tidak akan dikenakan? (sebelum tu memang ayat berbunga-bunga, jadi aku dah ringkaskan terus kepada soalan yang ditanya)


Aku:Padang Besar, Bukit Kayu Hitam dan Pulau Langkawi.


Kastam: Betul ke? Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam?


Aku: Aaa…erm, Pulau Labuan? Langkawi, Labuan dan Bukit Kayu Hitam?


Kastam: Betul ke Bukit Kayu Hitam? Awak mesti pergi banyak kali kat sana kan.


Aku: (sudah…) Masa kecik-kecik saja Tuan, selalu pergi Padang Besar saja. Erm.. Bukit Kayu Hitam saya ganti dengan Perlabuhan Pulau Pinang..


SPA: Erm.., tapi Perlabuhan Pulau Pinang tak ada aktivi jual beli kat sana.


Aku: (diam, sambil fikir, bila tengok si Kastam menulis jawapan aku kat kertas A4, terus aku dapat ilham..lambatnya..huhuhuh) Oh! Saya ganti dengan Perlabuhan Pulau Pinang dengan Pulau Tioman (for God’s sake Alia!)


Kastam: Jadi, ianya Labuan, Pulau Langkawi dan Pulau Tioman? 





Selepas tu, si SPA pun kata tidak ada soalan lagi dan terus menunjukkan aku ke arah kanan (arah jalan keluar). Dalam hati ‘Aik,takkan sekejap saja, pasal kastam tak tanya pun’, aku pelik dan teragak-agak. Pergh..nasib baik tak bangun dari kerusi, sebab dia maksudkan akan memberi tugasan temuduga tersebut kepada si Kastam pula (si Kastam kebetulan disebelah kanan beliau dan pada masa inilah, aku dapat pastikan siapa dari SPA dan siapa dari Kastam, semestinya dari SPA lebih peramah dan mudah tersenyum, kerana mengikut apa yang pernah aku dengar, mereka sememangnya hendak menolong calon dalam temuduga.) 



Si Kastam menanyakan tentang struktur organisasi JDKM. Berapa bahagian dan senaraikan 4 bahagian JDKM?


Aku: Semua sekali ada 9. Contoh 4 bahagian tersebut ialah; Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Cukai dalam Negeri, Bahagian Kastam dan Bahagian Perundangan(nasib baik tak suruh senarai semua,huhuhu).


Kastam: Terangkan tugas bahagian Penguatkuasaan?


Aku: Erm…. (aku pun hentam je, contoh yang aku beri ialah; dalam perlaksanaan GST, berada di sempadan. Jangan tiru jawapan ini, kerana ianya salah)



Si Kastam pun menerangkan jawapan yang sebenarnya yang aku pun dah lupa. Aku ni memang kurang daya tumpuan sikit.






 Kastam: Terangkan tugas Penguasa Kastam di perlabuhan.



Aku: (teragak-agak nak jawab, kerana yang aku tahu ialah tugas kastam secara menyeluruh, bukan dibahagian-bahagian tertentu)




Bila dia nampak aku macam tu, dia pun tanya, ‘tau ke tak?’ Aku cakap ‘tahu apa yang disenaraikan dalam pautan SPA saja. Secara terperinci tak pasti’ Beliau pun menyuruh aku menyenaraikan tugas yang aku tau.



Aku pun cakap dengan lancarnya bak si ‘hafizah’ tugas-tugas kastam. Dari situ dia pun menerangkan yang mana satu ialah tugas penguasa kastam di perlabuhan. Kerana apa yang disenaraikan disitu bukanlah dilaku oleh semua penguasa kastam; setiap penguasa ada tugas yang diberikan dan dibahagikan tugas.  Kalau tak silap ialah membuat taksiran harga barang bagi pungutan cukai dan memproses dan meluluskan permohonan pengimportan/pengeksportan bagi barang-barang di pintu masuk, pintu keluar negara, zon-zon bebas cukai dan gudang-gudang berlesen. 



Soalan akhir sekali ialah pasal 1Malaysia GTP. Masa ni aku dah maki diri sendiri. Alahai, kenapalah aku tak baca pasal ni. Aku pun terangkan apa itu satu Malaysia, tapi gagal menerangkan apa yang kerajaan buat untuk melaksanakan program tersebut (NKRA).








 TIPS:
  • BANYAKKAN PEMBACAAN TENTANG DASAR-DASAR KERAJAAN, TERUTAMANYA YANG TERBARU. CONTOH: GST, BAJET.

  • TAHU DAN HAFAL (BILA DISOAL, BOLEH JAWAB DENGAN LANCAR) TENTANG JABATAN YANG AKAN DITEMUDUGA. CONTOHNYA; JABATAN KASTAM DIRAJA MALAYSIA, JABATAN PERKHIDMATAN AWAM

  • PERSEDIAAN MESTILAH DIMULAKAN SEBAIK SAHAJA MENGETAHUI TAWARAN KE TEMUDUGA. JANGAN JADI MACAM AKU. 

  • BELILAH BUKU PENGAJIAN MALAYSIA UNTUK YANG MALAS BUKA INTERNET/TAK ADA INTERNET/SUKAKAN BUKU/ MALAS NAK PRINT/ TAK ADA PRINTER/ ADA PRINTER TAPI PRINTER TAK ADA DAKWAT/ ADA PRINTER TAPI PRINTER ROSAK/ ADA PRINTER TAPI TAK ADA KOMPUTER DAN SEBAGAINYA.
Harga RM 29.90.



  • KALAU JENIS MENGHAFAL MACAM AKU, SILALAH BUAT KAD IMBAS (FLASH CARD). SENANG NAK HAFAL, SEBELUM TIDUR PUN BOLEH LAGI CURI-CURI TENGOK DAN HAFAL. SAIZ KAD INI MUAT-MUAT TAPAK TANGAN AKU JE (TAPAK TANGAN AKU BESAR TAU!).BUATLAH KAD YANG BILA TULISANNYA DIBACA TAK MEMERLUKAN KANTA PEMBESAR. NAK BAWA SEMASA MENUNGGU TEMUDUGA PUN BOLEH, TAPI JANGAN BAWA SEMASA DI DALAM BILIK TEMUDUGA PULA.


Aku ada 2 set; satu berkenaan jawatan dan isu semasa, kedua ialah ahli jemaah menteri


UPDATE: Aku gagal dalam temuduga ini. Baru tengok keputusan tadi. :( keputusan keluar 20 hari lebih awal. Tahniah kepada yang lulus. (7.11.14)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan