Ahad, 23 November 2014

Macamlah dapat.

Aku isi borang kerja tadi. Untuk jawatan cikgu. Rasa nak tergelak pun ada. Macamlah akan dapat. Panggilan pun tak akan dapat. Aku pun tak pasti kenapa aku isi.


Terdesak mungkin.


Bosan dengan hidup yang tak kemana ni.


Aku ambil keputusan nak belajar ACCA. Rasa sayangkan sains tu masih ada, tapi kalau peluang pekerjaan pun tak ada, baik aku ubah haluan.


Siapa kata kita akan dapat kerja yang kita suka?


Bertuah sungguh orang yang dapat kerja yang dia suka. Aku bukan golongan tu.


 Selamat tinggal penawar kanser dan penawar HIV. Aku tak akan jadi orang yang akan menemui penawar itu.


Keputusan periksa macam cikai, tapi angan-angan besar macam boleh capai.

Sabtu, 15 November 2014

Menghitung hari..

Ada orang menghitung hari untuk dapat gaji atau berkahwin.


Aku pula menghitung hari untuk hari buka diet! (cheat day)


Hari buka diet aku ialah pada 28 November nanti..


Tak sabar nak menunggu! Dah macam-macam makanan aku terbayangkan dikepala. Aku sedar, aku tak akan dapat makan semuanya. Kalaulah ada orang yang nak kongsi makanan dengan aku. Contohnya, aku cuma nak sesudu dua nasi lemak sambal kerang dengan timun yang ranggup, ABC dan mee goreng. 


Yang ini antara senarai makanan yang aku teringin nak makan:

1)Sekeping roti peanut butter & nutella
2) Sepotong kek dengan strawberi
3) KFC terutamanya cheezy wedges dan kentang putar
4)Pringles bekas kecil
5)Asam
6)Cadbury Black Forest 
7)Cream puff dan kuih-muih malaysia.
8)ABC
9)Spagetti
10) Roti gardenia sambal ikan bilis


Macam aku cakap tadi, bukan semua dalam senarai ni dapat aku makan! Rasa sangat 'pilu' sebab tak ada orang yang nak tolong habiskan makanan aku. Ye lah, sejak diet, perut aku mengecil. Mana nak boleh melahap macam tong sampah lagi. Hari buka diet pertama pun aku buat dua hari, tu pun tak sampai separuh senarai makanan yang dimakan. Aku harap, hari buka diet nanti tak berlanjutan sehingga dua hari lagi. Aku harap aku terus beristiqamah dalam menguruskan badan demi menjaga amanah  Allah. Amin.




UPDATE: **20/11/14

Ini buah pisang belakang rumah. Pertama kali aku dapat hasil daripada tanaman sendiri.
Malangnya, pokok tumbang dan terpaksa kutip hasil. Oleh kerana teringin sangat nak
makan pisang ni, aku pun masuk Google, dan cari cara untuk melambatkan
proses penguningan. Katanya boleh tahan lebih kurang seminggu dua, aku buat semalam, ada
lebih kurang 8 hari lagi sebelum buka diet. Nanti aku update pasal ni kalau cara ini berjaya.



Tadi pergi beli barang dapur dengan abah. Bagi menjimatkan duit, aku telah beli
barang hari buka diet seminggu lebih awal. Muahahaha. Pringles kecil tak ada, aku
bercadang akan berkongsi dengan Sara dan lain-lain. Lebihan kerepek kentang dengan kek apollo
pun dah bagi kat Sara. Aku cuma ambil 3 kerepek kentang dan 3 kek apollo.
Coklat tu pun beli yang paling kecil.









Isnin, 10 November 2014

Realiti Orang Gemuk

Gemuk.


Gemuk yang aku maksudkan, bukanlah gemuk yang terlebih 5-15kg. Tapi gemuk yang melebihi 50kg daripada berat ideal. Gemuk seperti ini selalu dikategorikan sebagai obes.


Aku gemuk. Gemuk obesiti tahap-3. Pergi mana je mesti ada yang memandang. Aku dah biasa dengan pandangan seperti ini. Ada yang menyampah, dalam hati mereka mesti kata 'Ah, orang gemuk selalu pemalas.'


Tahukah anda, gemuk adalah penyakit genetik? Ada yang tak bersetuju dengan pandangan ini. Masih dalam kajian katanya.


Mula-mula, aku pun tak setuju dengan pendapat ini, Tapi salasilah keluarga aku, banyak yang gemuk. Ayah aku gemuk kalau bukan kerana diabetes, mama pun sama. Sejak dari kecil lagi aku berisi. Tak pernah berbadan kurus. Masalah kenaikan berat badan menjadi kritikal semasa aku baligh sampailah sekarang. Aku boleh makan dan makan walaupun tanpa rasa lapar. Kenyang? Sekejap saja. Sehingga sekarang, penyakit gemuk tiada penawar (cannot be curable) tapi boleh diatasi  (can be treatable). Antaranya melalui penggurangan kalori makanan, bersenam, dan pembedahan.


Hakikatnya, orang gemuk selalu didiskriminasi.


Aku tak tahu ada tak pembaca yang gemuk macam aku, tapi ini pengalaman aku menjadi seorang gemuk obesiti tahap 3. BMI aku pernah melebihi 50.



Aku tak pernah ada kekasih. Tak ada sesiapa pun yang nakkan aku. Siapa yang nakkan orang yang obes? Lelaki lebih rela amik perempuan kurus yang kurang cantik daripada orang gemuk.


'Ada je orang gemuk berkahwin.'


Aku cakap, 'Boleh bilang dengan jari.' Berapa banyak yang tak ada kekasih/berkahwin sebab obes. Berlambak-lambak. Ingat, ini bukan kisah berat badan berlebihan, ini kisah orang obes tahap 3. Tak percaya, cuba masuk laman mencari jodoh di facebook, ramai gadis-gadis, anak dara - anak dara yang membuat 'iklan' ialah orang yang obes. Ada seorang lelaki komen dekat seorang gadis yang mengiklan, 'Macam ni beras 10 kg pun tak cukup sebulan, hantaran RM500 pun aku tak mau'. Gadis itu beratnya dalam lingkungan 90kg. Bayangkan jikalau dia mempunyai berat seperti aku, entah apa lagi caci maki yang dia terima.




Pekerjaan. Sampai sekarang aku tidak mempunyai kerja. Kadang-kadang terfikir, 'buat habis duit saja pergi temuduga, tak ada pun yang nak ambil si gemuk ni.' Ada orang akan berbalah, 'ada je orang gemuk kerja kat tempat sekian-sekian'. Berapa orang gemuk yang kamu kenal? Masa dia mula kerja dulu, memang dah gemuk macam tu ke? Jawatan apa yang dia pegang?



Temuduga-temuduga yang lalu, masih boleh ingat reaksi mereka. Ada yang tersenyum mengejek, menyoal tentang kemungkinan aku malas berjalan, endah tak endah. Mula-mula , aku pun tak mau percaya statistik yang menyatakan orang obes susah dapat pekerjaan, tapi bila dah jadi kat aku, baru aku percaya. Baru-baru ini aku terima e-mel daripada majikan yang pernah aku minta kerja. Aku ingatkan panggilan temuduga, rupa-rupa suruh aku diet. Aku tak marah, cuma kecewa sebab statistik itu betul. Kecewa dengan diri sendiri. Ingat aku suka ke jadi gemuk? Dah berapa lama baju aku tak bertukar. Sampai reput, berlubang sana sini. Bukan tak ada baju saiz besar jual kat kedai, tapi kalau dah sehelai RM50 ke atas, mana mampu nak beli, seluar paling 'murah' RM 80. Tambahan pula aku tak kerja.



Ada yang cakap, jadilah juruwang (cashier), kerja kat KFC, McD. Bukan aku memilih, masalahnya nak berdiri sejam pun sakit tumit rasa macam nak pecah, urat tapak kaki rasa macam nak meletup. Aku pernah kerja jadi 'saleswoman' hampir setahun yang lepas, aku terpaksa berhenti selepas 4 hari turun padang, sakit kaki hanya Allah saja yang tahu. Aku selalu letih dan tak bermaya. Padahal aku suka sangat kerja tu. Gembira sangat apabila rakan sekerja semuanya baik-baik dan peramah.



Hanya baru-baru ini, aku mula diet bersungguh-sungguh. Bukan senang nak istiqamah. Walaubagaimanapun, aku bersyukur kepada Allah kerana memberi semangat untuk aku meneruskan diet ini. Dengan izinNya, aku berjaya istiqamah sampai hari ke-53(hari ini), yang mana sebelum ni selalunya kurang 14hari.



Aku takkan mengalah dengan ketidakadilan dunia ini. Insya Allah, akhir tahun 2015, aku akan mencapai berat yang normal. Aku akan cuba membantu orang lain pula untuk menurunkan berat badan, bukan kerana sebab cacian hinaan mahupun riak, tetapi kerana tubuh badan ini milik Allah, pinjaman daripada Allah, dan Dia pernah berfirman supaya jangan menzalimi diri sendiri.



Jadi, wahai golongan-golonganku sekalian, jangan cepat putus asa. Allah tidak bebankan kita melebihi kemampuan yang kita ada.



Sabtu, 8 November 2014

Menyerupai..

...zombie.


Pucat gila sekarang ni.


Aku rasa elok sikit je dari zombie kampung pisang. Dengan mata panda. Mesti Aina takut tengok aku, dah la baru dapat penglihatan.hahaha


Jangkaan:


  1. Aku derma darah pada 2 November, 450ml (whole blood, aferesis dah cukup kuota hari tu). Aku ingat kalau derma darah maka bulan akan datang lambat. Sekurang-kurangnya 5-7 hari macam pengalaman-pengalaman yang sudah.
  2. Kurang dari 48 jam, bulan sudah datang. Ayoyo, salah pengiraan. Datang tepat pada waktunya (Alhamdulillah, haid aku tak pernah terhenti lebih sebulan, walaupun aku morbidly obese [obes tahap 3]).


Mula-mula aku perasan juga yang aku ni pucat, biasa la, baru bagi darah. Tapi dah masuk beberapa hari, masih tak hilang-hilang juga pucat tu. Dah la aku rancang nak cabut gigi  Isnin atau Selasa minggu depan yang tinggal beberapa hari lagi ni. Dari 2-3 minggu lepas lagi aku rancang. Jadinya, aku tangguh sebab takut nanti nak bagi darah tak lepas pula. 


Ditambah pula cuaca sejuk dan aku tidur atas lantai. Ya, saya tak suka tidur atas tilam kecuali tilam yang mahal-mahal.hahaha 


Tilam kat rumah aku semuanya yang murah-murah, aku tak suka tidur atas tu sebab nanti sakit tulang belakang. Jadinya, sehingga aku mampu beli tilam mahal, baru aku tidur atas tilam. Buat masa ni, kalau sejuk sangat lapik dengan comforter je dan pakai sweater.  Kadang-kadang aku tarik comforter yang jadi pelapik tu, jadi selimut pula. Kiranya, comforter tu dua dalam satu. hahaha


P/S: Baru aku tau, bahawasanya, aku layak menderma aferesis. Tapi aku rasa mungkin akan mula menderma tahun hadapan kerana lengan aku masih besar, dan agak susah nak ambil tekanan darah.  Buat malu je bila mesin tu tak dapat ambil bacaan walaupun dah pakai cuff yang paling besar. aku jangka, dalam tiga bulan lagi berat aku kurang daripada 110kg. Tak sabarnya nak daftar jadi penderma sum-sum tulang.

Selasa, 4 November 2014

Diet Atkins: Pengenalan

Umum diketahui, aku melakukan  Diet Atkins dan ianya sangat sesuai untuk orang yang kuat makan macam aku. Diet ini dilakukan dengan mengurangkan pengambilan karbohidrat, mengambil protein secara bersederhana dan melebihkan lemak dalam menu makanan dalam sehari-harian.


Terdapat banyak  diet rendah karbohidrat yang direka; dipercayai diolah daripada diet ini seperti Diet Ketogenik, South Beach Diet, Paleo Diet dan lain-lain lagi.


Terdapat empat (4) fasa didalam diet ini.


  1. Fasa 1; Induction
  2. Fasa 2; Ongoing Weight Lost
  3. Fasa 3; Pre- Maintenance
  4. Fasa 4; Lifetime Maintenance



Bagaimana memulakan Diet Atkins?


Anda boleh makan (untuk fasa 1: induction):

  1. Sumber protein; lembu, ayam, ikan, kambing, telur, ayam belanda daging khinzir bagi bukan Islam, itik, puyuh, udang, sotong (agak tinggi kandungan karbohidrat, boleh makan cuma kurangkan) yang dimasak secara goreng, panggang, bakar, sup dan lain-lain.
  2. Sayur-sayuran yang rendah kadar karbohidrat dan rendah glycemic index seperti cendawan, lada, daun salad, timun, dan lain-lain.
  3. Keju yang rendah karbohidrat seperti mozarella, cheedar, parmesan, cream cheese dan lain-lain.
  4. Makanan-makanan lain yang rendah karbohidrat dan rendah glycemic index.


Makanan yang dilarang dimakan:

  1. Segala jenis nasi, produk hasil pemprosesan nasi seperti bihun, mee, keow teow, soun dan lain-lain.
  2. Segala jenis tepung, produk hasil pemprosesan tepung seperti tepung gandum, tepung ubi, kuih-muih, biskut, pau, cream puff, tat keju, kek dan lain-lain.
  3. Gula tebu, segala jenis makanan yang dihasilkan menggunakan gula tebu seperti milo, oren sunquick, air berkarbonat, gula-gula, dan banyak lagi.
  4. Semua jenis buah-buahan; epal, anggur, oren, pisang, nangka dan banyak lagi.
  5. Segara jenis kekacang, produk hasil pemprosesan kacang;  kacang merah, kacang buncis, kacang goreng, kacang panjang, kacang soya, kicap, taufu fa dan lain-lain lagi.
  6. Segala jenis ubi dan umbisi; ubi kayu, ubi kentang, ubi keledek, jejari kentang McD & KFC, kentang putar dan banyak lagi. (kecuali ubi konjac)


Sepanjang fasa 1 anda hanya dihadkan pengambilan karbohidrat dengan hanya 20 gram sehari. Bilangan terbesar karbohidrat yang diambil ketika fasa ini hendaklah datang daripada sumber sayur-sayuran.



Walaubagaimanapun, terdapat juga larangan tidak melakukan diet ini jikalau anda:

1) Mengandung
2) Mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit buah pinggang kronik






**Apa itu makanan yang mempunyai glycemic index yang tinggi?

-angka yang menunjukkan potensi peningkatan gula dalam darah daripada karbohidrat yang dimakan. Senang cakap, sebaik saja makan makanan tinggi GI, gula dalam makanan itu akan cepat masuk ke dalam saluran darah, seperti nasi, cornflakes, air soda dan lain-lain lagi.


Isnin, 3 November 2014

Orang baru menggantikan orang lama

Dalam keluarga aku, dah ada orang baru. Banyak tau untuk tahun ini sahaja. :)


Pertamanya, kakak ipar aku dah melahirkan seorang lagi bayi perempuan, Aina. Sebiji ikut muka ibunya dan saling tak tumpah macam muka kakaknya semasa bayi dahulu. Sebulan sebelum itu, kakak kepada kakak ipar aku ini pun telah melahirkan seorang anak lelaki.


Manakala, di Kedah, sepupu aku telah melahirkan seorang anak perempuan, cukuplah sepasang. :)



Biras aku, adik ipar kepada kak yong pun melahirkan anak perempuan yang sangat besar, 3.98kg!



Beberapa bulan yang lepas, Tok Wan sudah pun meninggal dunia. Pada usia lebih kurang 96 tahun. Sebenarnya, kami semua termasuk Tok Wan pun tak pasti berapa umur yang sebenarnya, kerana sijil lahir lambat dibuat, tapi yg tertulis di Sijil Kematian, Tok Wan meninggal pada umur 90 tahun.


Tiada lagi watak datuk dalam hidup ini. Aku selalu bayangkan Tok Wan akan hidup selama-lamanya. Macam tak percaya saja Tok Wan dah tiada. Lebih kurang seminggu sebelum diwadkan, rumah Tok Wan baru saja siap diperbaharui.


Tok Wan ada tiga orang isteri, memang ramailah anak-anak, cucu-cucu, dan cicit-cicit yang datang melawat dia di hospital. Ketika inilah, ramai sangat sanak-saudara yang aku bersua muka. Kebanyakkannya aku tak berapa kenal kerana sesetangah daripada mereka termasuk aku bertebaran mencari rezeki di negara bertuah ini.


Bila dah ramai-ramai berkumpul, mulalah makcik- makcik dan pakcik-pakcik aku cerita tentang Tok Wan masa muda-muda dulu. Sudah semestinya mereka merindui dan berharap bapak/abah/ayah (panggilan setiap orang anak-anak Tok Wan daripada isteri-isteri yang lain adalah berbeza), cepat-cepat bangun dan sembuh seperti sediakala. Cerita macam mana Tok Wan mempelihara setiap anak-anak perempuannya, apa yang telah Tok Wan layan mereka semasa kecil-kecil dahulu dan lain-lain.


Masa abah sakit dulu pun, Mak Teh dan Mak Njang cerita pasal abah. Memang sudah begitu adat manusia, bila seseorang sakit dan sudah meninggal dunia, segala kenangan manis dan jasa mereka akan disebut-sebut terutamanya daripada anak-anak dan adik-beradik.











Sabtu, 1 November 2014

Hari Buka Diet

26 Oktober yang lepas, aku telah membuka diet aku setelah lebih lima minggu taat kepada arahan diet tersebut. hahaha


Banyak jugaklah yang aku makan. Pada 28 haribulan barulah start diet balik. Bila diingatkan, tak sedap sangat pun makanan yang aku teringin sangat-sangat nak makan tu. Rasa biasa je. Malah rasa pelik pula, makanan yang aku makan tu terlampau senang untuk dimakan. Apakan tidak, buka plastik je, terus ngapp. Goreng dalam 5 minit, terus aummm..Sedangkan masa diet aku menyiapkan makanan sekurang-kurangnya 20-45minit.  Kadang-kadang, kalau malas aku goreng telur je, tu pun jarang sangat.


Menyesal? Tak jugak, sebab aku rasa itu lebih baik sebab aku dah tak teringat-ingat akan makanan tu lagi dah. Berat memang naik, tapi itu semua berat air dan makanan dalam usus saja.


Aku bercadang untuk membuka diet lagi pada hari jadi aku. Tak pasti lagi sama ada pada hari jadi ke-25 tahun Masihi (28 November) ataupun hari jadi ke-26 tahun Hijriah (18 Februari 2015), atau kedua-duanya!hahaha


Kalau difikirkan balik, kedua-dua tarikh ini memang jauh dari satu sama lain, malah kalau dibandingkan tarikh dari mula balik diet dengan hari jadi ke-26 memang tersangatlah jauh. Hampir 3 bulan.


Ok, macam inilah, kalau aku dapat jawatan tetap/lulus temuduga dengan SPA nanti, aku akan teruskan diet sampai 18 Februari. Kalau tak dapat, aku nak raikan birthday pada November. Malah pada bulan Februari jugak!