Khamis, 16 Oktober 2014

Menyahut seruan

Tajuk di atas ialah sempena menyahut seruan kerajaan yang telah berpenat lelah mengadakan kempen kesedaran. Seruan yang dijawab oleh aku ialah;

2)Pendermaan Organ

Sehingga saat ini, aku telah menderma darah sebanyak 17 kali. Kali pertama aku menderma adalah semasa berumur 17 ++ tahun. Ceritanya begini.

Situasi pertama;

Aku telah lama mengidam untuk menderma darah semenjak berusia 11 tahun selepas menghadiri perjumpaan ahli Bulan Sabit Merah di Jitra. Ketika itu, ada ramai orang termasuklah orang dewasa. Pada pandangan aku, mereka sungguh baik hati dan cekal kerana sanggup bersakit demi nyawa orang yang tak dikenali.

Situasi kedua;

Aku telah pun berumur 15 tahun. Aku menghadiri kelas tambahan di sekolah dan kebetulan ternampak sekumpulan pelajar tingkatan enam menderma darah di dewan sekolah. Semangat aku bertambah membara untuk menjadi penderma darah bila sudah cukup umur nanti.

Situasi ketiga;

Aku baru sahaja mencapai umur 17 tahun beberapa bulan yang lalu. Malah, hari lahir aku jatuh ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bagi matapelajaran Matematik Tambahan. Seusai menerima keputusan SPM yang tidak seberapa itu, aku menyahut panggilan PLKN oleh kerajaan. Aku bertambah gembira apabila dimaklumkan tentang kempen menderma darah akan diadakan di kem tersebut. Surat kebenaran waris telah pun diambil.

Tetapi, dengan keadaan yang sangat menganggu jiwa, aku mengambil keputusan untuk keluar dari kem menggunakan alasan untuk menyambung pelajaran di tingkatan enam.

Situasi keempat;

Aku masih berumur 17 tahun. Telah menempatkan kaki di UiTM Arau dalam jurusan Diploma Sains. Pelajar baru seperti aku semestinya menghadiri Kesatria. Pada suatu hari Kesatria, 24.8.07 aku menderma darah untuk kesekalian kalinya. Pendermaan darah buat kali pertama itu adalah seperti sambil menyelam minum air. Kerananya, cita-cita aku menderma darah telahpun tercapai dan aku tidak perlu menghadiri Kesatria untuk minggu tersebut.hehehe

Buruknya, aku telah menipu didalam borang tersebut semasa mengisi no. kad pengenalan. Ye lah, aku baru berumur 17 tahun, mana boleh menderma tanpa kebenaran waris. Kebetulan aku mengetahui tentang kempen itu pada hari berkenaan dan tidak mendapat makluman daripada Ketua Kumpulan Kesatria. 

Panjang betul sejarah perjalanan perdermaan darah aku.hehehe


Untuk pendermaan organ, aku tidak mahu cerita panjang lebar (malas nak menaip dan sudah mengantuk sebenarnya). Cukuplah aku menyatakan aku terdorong untuk menjadi penderma organ kerana beberapa berita yang telah disiarkan di televisyen semasa aku kanak-kanak dahulu (keluarga pesakit menyeru kepada orang ramai untuk tampil menderma sebahagian hati untuk anak mereka yang masih kecil). Ya, tidak lama dahulu, di Malaysia, mereka membenarkan pendermaan organ tanpa ikatan keluarga dan pendermanya masih hidup! Mungkin juga kerana kurangnya kesedaran pendermaan organ setelah meninggal dunia/mati otak.

Setelah habis belajar di sekolah menengah, aku terus menelefon tempat pendermaan organ dan mereka mengeposkan kad pendermaan organ kepada aku pada kemudian hari. Malah, pengikraran ini merupakan yang terawal daripada pendermaan darah. Aku berjanji akan membawa kad pendermaan semula di dalam beg duit jika BMI di bawah 40.

Entah macam mana aku teringat ada satu lagi ikrar yang belum aku buat, pendermaan sum sum tulang. Tapi masalahnya berat aku melebihi BMI 40. jadi aku terpaksa menangguh niat ini, dan akan ke Institute for Medical Research (IMR) apabila berat aku disekitar 90kg-95kg.Soalan lazim tentang pendermaan sum sum tulang/sel stem darah.



P/S- Tarikh pendermaan darah seterusnya aku bercadang untuk ke PDN pada 1.11.14. Aku harap tiada aral yang melintang seperti kekurangan hemoglobin. Aku juga akan cuba memohon bagi menjadi penderma aferesis.

Untuk HBU111 (Kesatria), gred semester tersebut aku memperoleh A+! Dahsyat betul penangan pendermaan darah. :P

Genap sebulan

Hari ini genap sebulan saya berdiet atkins. Berat saya naik dengan banyaknya sebelum puasa hinggalah pada sebulan yang lepas. Saya bertekad menurunkan berat badan kali ini walau apa jua rintangan. (ayat tak boleh blah)

Dengan berat paling seberat-beratnya pernah saya catat ialah 139.8kg, saya berjaya turunkan kepada 129.6kg.Manakala berat pada awal tahun  ialah 135.7kg.

Saya juga bersenam 30 minit sehari iaitu dengan mengayuh mini cycle dan mengangkat beban 5kg. Dulunya bercadang untuk ber'tabata', tapi masih kurang keyakinan diri, takut tercedera.

Mungkin selepas ini saya akan ber'squat'. Tujuannya untuk mengecilkan paha dan punggung.

Oh, ukuran pinggang saya pada bulan lepas ialah 49inch, sekarang sudah 46.75inch.

Sesetengah orang sangat mementingkan penurunan berat badan dan rasa tertekan apabila berat tidak turun. Merasa tertekan terhadap perkara tersebut sangat tidak munasabah kerana mereka sebenarnya mengalami pembakaran lemak, seterusnya pengurang inci di seluruh badan. Saya sangat cemburu terhadap individu seperti itu kerana banyak baju kurung saya yang sudah ketat.

Perubahan positif apabila melakukan diet ini ialah;

1. Buku lali sudah tidak bengkak lagi.
2. Kulit muka nampak berseri
3. Badan terasa lebih sihat dan ringan
4. Lebuh berdisplin dalam pengambilan makanan tambahan seperti kalsium dan minyak ikan

Saya menyertai kumpulan diet ini di facebook. Semalam ada seorang ahli telah mengemukakan cadangan untuk mengadakan perjumpaan sesama ahli. Bunyi menyeronokkan. Malangnya, saya seorang yang pemalu.

Malah, kalau ke mana-mana, saya selalu menundukkan pandangan daripada bertentang mata dengan semua orang, termasuklah dalam percakapan seharian (selalunya). Ini menjadi masalah kepada orang lain yang mungkin menganggap saya seorang yang kurang ajar, sombong atau/dan tidak berminat didalam perbualan.

Kesan daripada sikap ini memburukkan lagi kemahiran pengecaman wajah seseorang yang sudah lama saya 'hidapi'. Walaubagaimanapun, saya bukanlah 'face blind'.

Apapun, saya akan cuba teruskan diet ini sehingga BMI bawah daripada 40 (berat sekitar 105kg-108kg) sebelum 'cheat'. Menurut pengiraan, ianya mungkin 4 bulan dari sekarang. Dan saya sudah pun ada senarai makanan yang teringin sangat hendak dimakan. :P

Selasa, 16 September 2014

Masih...

Masih.....

Tidak bekerja,
Tidak berpunya,
Tidak kurus (gemuk la senang cakap),
Hidup!!


Aku masih seperti sebelum-sebelum ini. Hebat juga aku ni kalau difikir-fikirkan balik.Ye la, dah setahun lebih menganggur. Paling hebat, aku masih terasa macam baru semalam aku menganggur!

Memang bosan.

Walaubagaimana pun, aku dah membuat keputusan untuk berubah. Aku akan usaha juga mendapatkan kerja dengan lebih agresif lagi. :)


Dalam tahun ini sahaja, aku dipanggil ditemuduga SPA8 sebanyak 3 kali.


Panggilan pertama ialah dari Jabatan Imigresen. Aku tersalah isi jawatan tersebut dengan tidak membaca keperluan fizikal yang diperlukan bagi memenuhi syarat pertama untuk ke saringan seterusnya. Akhirnya, aku tidak menghadirkan diri pada hari temuduga berkenaan.

Panggilan kedua ialah dari Jabatan Perkhidmatan Awam. Sayangnya aku gagal temuduga tersebut. Kebetulan aku mengetahuinya pada hari lebaran bagi umat Islam. Sedih memang sedih. Tapi aku percaya ini sudah ketentuan takdir Illahi.

Panggilan ketiga ialah dari Jabatan Kastam. Gembira sungguh rasa di hati kerana inilah panggilan pertama dari SPA8 berdasarkan kelayakan akademik aku. Rasa gembira itu tidak lama apabila mengetahui terdapat seramai lebih 85,000 pemohon dipanggil untuk menempuh halangan pertama iaitu, peperiksaan atas talian. Jawatan kosong yang disediakan adalah cuma 245 kekosongan. Rasa seakan diri ini kerdil. Bagaimanapun, aku berjaya menempuh peperiksaan tersebut, dengan pelbagai halangan (kematian datuk , menjawab peperiksaan dalam keadaan tidak sihat, kegagalan server semasa menduduki peperiksaan kali pertama etc).

Bagaimanapun, perjuangan ini belum lagi selesai. Aku perlu bersedia untuk saringan seterusnya iaitu Assessment Centre kemudian barulah ke pusingan temuduga, itu pun kalau lulus ujian Assessment Centre.

Aku berdoa semuanya akan berjalan lancar. Amin.




Isnin, 9 Jun 2014

Breaking Bad

Aku mula ketagih tengok drama lebih kurang 2-3 minggu lepas.

Kisahnya, seorang guru kimia yang menghidapi kanser selepas dia menyambut hari jadi ke-50.

Dia mula resah bila mengetahui tidak mempunyai duit yang banyak untuk ditinggalkan kepada anak dan isterinya setelah dia pergi nanti.

Dia mula membuat keputusan untuk membuat dadah jenis metafetamin. Oleh kerana dia sangat pakar dalam bidang kimia, menyediakan dadah yang hampir tulen tiada masalah baginya.

Dia berpakat dengan bekas pelajarnya, yang juga seorang pengedar dan juga penagih dadah; Jesse Pinkman.

Bermula daripada saat itu, Walter White menjalani dua kehidupan; seorang pembekal dadah dan juga seorang guru, bapa, suami dan pesakit kanser.

Yang menariknya, Walter White mempunyai biras yang bekerja sebagai agen DEA. Di Malaysia, DEA ni lebih kurang macam polis bahagian narkotik.

Mangsa pembunuhan pertama Walter White ialah Emilio. Selepas itu, Domingio. Sehingga membawa kepada 167 orang mangsa tragedi pelanggaran kapal terbang di atas udara dan banyak lagi.

Apa-apa pun, aku baru tengok sampai musim ke-4 sahaja. Mestilah aku tidak mengetahui kesudahan cerita ini lagi buat masa sekarang.

Kesimpulannya, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

Isnin, 2 Jun 2014

Hobi yang tidak menjemukan

Aku ada hobi yang agak keanak-anakan. Mengumpul lego..


Oleh kerana tiada dana yang mencukupi, tiada pekerjaan langsung selepas graduasi, aku hanya mampu membeli lego ciplak jenama Enlighten. Harganya memang murah. Tetapi sangat berpuas hati dengan rekaannya. Walaupun masih murah berbanding jenama lain, aku  masih tak mampu untuk beli banyak. Sekadar yang aku rasa sangat-sangat ingin memiliki.


Tema yang paling aku suka ialah Angkasa Lepas dan Bomba.


Sebagai graduan lepasan sains, semestinya aku meminati perkara yang ada berkaitan dengan sains. Suatu masa dahulu, aku ada bercita-cita untuk menjadi angkasawan. Banyak jugaklah buku-buku berkenaan planet yang aku belek.


Bomba...


Boleh dikatakan, aku disampuk hantu api! Aku dilahirkan dibawah zodiak api, numerologi hari lahir aku juga ialah elemen api, malah hari di saat aku dilahirkan juga ada perkataan api dalam tulisan kanji (bahasa jepun); ka-yobi. Agaknya sebab itulah aku alergi sejuk kot, kerana ianya bertentangan dengan elemen aku. (Amaran: Jangan terlalu taksub dengan zodiak dan numerologi, boleh membawa syirik.)



Oh, pasal bomba.. Satu hari, aku rasa ianya hari sabtu kerana cuti sekolah, semasa di Tingkatan 4 atau 5, kawanku yang tinggal di berek polis mengkhabarkan, bahawa terdapat bangunan terbakar berdekatan dengan tempat tinggalnya. Jadi, aku pun yang sudah terbiasa bangun awal pagi kerana selalu  pergi bersenam di Tasik Jitra bergegas ke tempat berkenaan.


Seingat aku, itulah kali pertama aku melihat api membaham bangunan. Semasa aku sampai di tempat kejadian, pihak bomba telah pun mencuba memadamkan api. Lama juga untuk api tu terpadam. Kedai yang pertama dan kedua memang terbakar hangus.


Ketika api sudah pun berjaya dikawal, aku mula mendekati bangunan itu. Ramai juga orang di situ. Maklumlah, hari cuti dan Jitra tidak seperti sekarang, tidak banyak kenderaan. Ketika itu, aku terperasan ada seorang wartawan sedang menemuramah Pegawai Bomba yang berpangkat tinggi. Rasa-rasanyalah, kerana pakaian bombanya tidak berwarna oren tetapi hijau tua. Masa tu, aku terbayangkan dia ialah Gil Grissom daripada watak fiksyen terkenal; CSI. Mereka mempunyai susuk badan yang sama dan tenang menjawab soalan yang dilontarkan oleh wartawan.


Dan, pada masa itu juga aku mendapat inspirasi untuk menjadi seorang anggota bomba! Sementelah pula, bagi aku kerja sebagai bomba ibarat seorang adiwira seperti Superman, Spiderman dan kebetulan aku tidak mempunyai daya menahan kesejukan.


Malangnya, aku mempunyai masalah visi dan obesiti.


Kebetulan sudah disebut tentang adiwira, aku juga mengumpul beberapa lego mini-figura adiwira. Yang paling aku suka semestinya Iron Man dan Iron Patriot. Kalau tak silap, aku memiliki 23 mini-figura lego ciplak yang merangkumi adiwira; penjahat lagenda terkenal seperti Joker dan Loki, dan juga Mr. Eugene Crab! Watak kartun Spongebob Squarepant.


Ahad, 1 Jun 2014

Hidup seorang diri

Kadang-kadang susah juga, hati jadi cemburu bila tengok kawan-kawan lain seorang demi seorang mendirikan rumah tangga. Sedangkan aku ni bercinta sekali pun tak pernah.

Makin lama aku sedar, bukan aku seorang je yang mengalami nasib ni, ramai lagi.


Kadang-kadang aku ok je walaupun berseorangan, tapi bila lihat orang lain menyebarkan kebahagian berumah tangga, mempunyai teman, aku rasa hidup ni tak sempurna, terus jadi sedih.


Bukan sahaja tiada teman hidup, malah kawan pun tak ramai. Maupun rupa dan kerjaya entah ke mana.


Kecewa juga dengan diri sendiri.


Bila tengok orang ada kerja, terbayangkan betapa bertuahnya mereka, aku masih terkapai-kapai.