Selasa, 16 September 2014

Masih...

Masih.....

Tidak bekerja,
Tidak berpunya,
Tidak kurus (gemuk la senang cakap),
Hidup!!


Aku masih seperti sebelum-sebelum ini. Hebat juga aku ni kalau difikir-fikirkan balik.Ye la, dah setahun lebih menganggur. Paling hebat, aku masih terasa macam baru semalam aku menganggur!

Memang bosan.

Walaubagaimana pun, aku dah membuat keputusan untuk berubah. Aku akan usaha juga mendapatkan kerja dengan lebih agresif lagi. :)


Dalam tahun ini sahaja, aku dipanggil ditemuduga SPA8 sebanyak 3 kali.


Panggilan pertama ialah dari Jabatan Imigresen. Aku tersalah isi jawatan tersebut dengan tidak membaca keperluan fizikal yang diperlukan bagi memenuhi syarat pertama untuk ke saringan seterusnya. Akhirnya, aku tidak menghadirkan diri pada hari temuduga berkenaan.

Panggilan kedua ialah dari Jabatan Perkhidmatan Awam. Sayangnya aku gagal temuduga tersebut. Kebetulan aku mengetahuinya pada hari lebaran bagi umat Islam. Sedih memang sedih. Tapi aku percaya ini sudah ketentuan takdir Illahi.

Panggilan ketiga ialah dari Jabatan Kastam. Gembira sungguh rasa di hati kerana inilah panggilan pertama dari SPA8 berdasarkan kelayakan akademik aku. Rasa gembira itu tidak lama apabila mengetahui terdapat seramai lebih 85,000 pemohon dipanggil untuk menempuh halangan pertama iaitu, peperiksaan atas talian. Jawatan kosong yang disediakan adalah cuma 245 kekosongan. Rasa seakan diri ini kerdil. Bagaimanapun, aku berjaya menempuh peperiksaan tersebut, dengan pelbagai halangan (kematian datuk , menjawab peperiksaan dalam keadaan tidak sihat, kegagalan server semasa menduduki peperiksaan kali pertama etc).

Bagaimanapun, perjuangan ini belum lagi selesai. Aku perlu bersedia untuk saringan seterusnya iaitu Assessment Centre kemudian barulah ke pusingan temuduga, itu pun kalau lulus ujian Assessment Centre.

Aku berdoa semuanya akan berjalan lancar. Amin.




Isnin, 9 Jun 2014

Breaking Bad

Aku mula ketagih tengok drama lebih kurang 2-3 minggu lepas.

Kisahnya, seorang guru kimia yang menghidapi kanser selepas dia menyambut hari jadi ke-50.

Dia mula resah bila mengetahui tidak mempunyai duit yang banyak untuk ditinggalkan kepada anak dan isterinya setelah dia pergi nanti.

Dia mula membuat keputusan untuk membuat dadah jenis metafetamin. Oleh kerana dia sangat pakar dalam bidang kimia, menyediakan dadah yang hampir tulen tiada masalah baginya.

Dia berpakat dengan bekas pelajarnya, yang juga seorang pengedar dan juga penagih dadah; Jesse Pinkman.

Bermula daripada saat itu, Walter White menjalani dua kehidupan; seorang pembekal dadah dan juga seorang guru, bapa, suami dan pesakit kanser.

Yang menariknya, Walter White mempunyai biras yang bekerja sebagai agen DEA. Di Malaysia, DEA ni lebih kurang macam polis bahagian narkotik.

Mangsa pembunuhan pertama Walter White ialah Emilio. Selepas itu, Domingio. Sehingga membawa kepada 167 orang mangsa tragedi pelanggaran kapal terbang di atas udara dan banyak lagi.

Apa-apa pun, aku baru tengok sampai musim ke-4 sahaja. Mestilah aku tidak mengetahui kesudahan cerita ini lagi buat masa sekarang.

Kesimpulannya, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

Isnin, 2 Jun 2014

Hobi yang tidak menjemukan

Aku ada hobi yang agak keanak-anakan. Mengumpul lego..


Oleh kerana tiada dana yang mencukupi, tiada pekerjaan langsung selepas graduasi, aku hanya mampu membeli lego ciplak jenama Enlighten. Harganya memang murah. Tetapi sangat berpuas hati dengan rekaannya. Walaupun masih murah berbanding jenama lain, aku  masih tak mampu untuk beli banyak. Sekadar yang aku rasa sangat-sangat ingin memiliki.


Tema yang paling aku suka ialah Angkasa Lepas dan Bomba.


Sebagai graduan lepasan sains, semestinya aku meminati perkara yang ada berkaitan dengan sains. Suatu masa dahulu, aku ada bercita-cita untuk menjadi angkasawan. Banyak jugaklah buku-buku berkenaan planet yang aku belek.


Bomba...


Boleh dikatakan, aku disampuk hantu api! Aku dilahirkan dibawah zodiak api, numerologi hari lahir aku juga ialah elemen api, malah hari di saat aku dilahirkan juga ada perkataan api dalam tulisan kanji (bahasa jepun); ka-yobi. Agaknya sebab itulah aku alergi sejuk kot, kerana ianya bertentangan dengan elemen aku. (Amaran: Jangan terlalu taksub dengan zodiak dan numerologi, boleh membawa syirik.)



Oh, pasal bomba.. Satu hari, aku rasa ianya hari sabtu kerana cuti sekolah, semasa di Tingkatan 4 atau 5, kawanku yang tinggal di berek polis mengkhabarkan, bahawa terdapat bangunan terbakar berdekatan dengan tempat tinggalnya. Jadi, aku pun yang sudah terbiasa bangun awal pagi kerana selalu  pergi bersenam di Tasik Jitra bergegas ke tempat berkenaan.


Seingat aku, itulah kali pertama aku melihat api membaham bangunan. Semasa aku sampai di tempat kejadian, pihak bomba telah pun mencuba memadamkan api. Lama juga untuk api tu terpadam. Kedai yang pertama dan kedua memang terbakar hangus.


Ketika api sudah pun berjaya dikawal, aku mula mendekati bangunan itu. Ramai juga orang di situ. Maklumlah, hari cuti dan Jitra tidak seperti sekarang, tidak banyak kenderaan. Ketika itu, aku terperasan ada seorang wartawan sedang menemuramah Pegawai Bomba yang berpangkat tinggi. Rasa-rasanyalah, kerana pakaian bombanya tidak berwarna oren tetapi hijau tua. Masa tu, aku terbayangkan dia ialah Gil Grissom daripada watak fiksyen terkenal; CSI. Mereka mempunyai susuk badan yang sama dan tenang menjawab soalan yang dilontarkan oleh wartawan.


Dan, pada masa itu juga aku mendapat inspirasi untuk menjadi seorang anggota bomba! Sementelah pula, bagi aku kerja sebagai bomba ibarat seorang adiwira seperti Superman, Spiderman dan kebetulan aku tidak mempunyai daya menahan kesejukan.


Malangnya, aku mempunyai masalah visi dan obesiti.


Kebetulan sudah disebut tentang adiwira, aku juga mengumpul beberapa lego mini-figura adiwira. Yang paling aku suka semestinya Iron Man dan Iron Patriot. Kalau tak silap, aku memiliki 23 mini-figura lego ciplak yang merangkumi adiwira; penjahat lagenda terkenal seperti Joker dan Loki, dan juga Mr. Eugene Crab! Watak kartun Spongebob Squarepant.


Ahad, 1 Jun 2014

Hidup seorang diri

Kadang-kadang susah juga, hati jadi cemburu bila tengok kawan-kawan lain seorang demi seorang mendirikan rumah tangga. Sedangkan aku ni bercinta sekali pun tak pernah.

Makin lama aku sedar, bukan aku seorang je yang mengalami nasib ni, ramai lagi.


Kadang-kadang aku ok je walaupun berseorangan, tapi bila lihat orang lain menyebarkan kebahagian berumah tangga, mempunyai teman, aku rasa hidup ni tak sempurna, terus jadi sedih.


Bukan sahaja tiada teman hidup, malah kawan pun tak ramai. Maupun rupa dan kerjaya entah ke mana.


Kecewa juga dengan diri sendiri.


Bila tengok orang ada kerja, terbayangkan betapa bertuahnya mereka, aku masih terkapai-kapai.



Rabu, 21 Mei 2014

Kiub Rubik


Memang susah nak selesaikan kalau tidak dipegang! Menggunakan minda menyelesaikan kiub ditambah pula putaran yang perlu dibuat perlu berhati-hati supaya semua usaha, penat lelah tidak lenyap begitu sahaja; meletihkan.

Ahad, 18 Mei 2014

Resurrection (The Returned)

Ceritanya sangat menarik. Seakan-akan cerita 4400, kerana pada musim yang pertama, penonton masih lagi tertanya-tanya apakah motif disebalik fenomena yang berlaku ini. Oh, dan juga Lost!


Apa-apapun, tak mahu membaca buku cerita tersebut, walaupun tak sabar menanti musim yang kedua.

Tomorrow People

Baru sahaja selesai menonton 22 episod cerita tersebut. Boleh dikonklusikan sebagai cerita yang memeningkan. Apa-apapun, baru sahaja mengetahui cerita ini tidak akan disambung untuk musim kedua.